Ads Top

Kenapa Disebut Berbuat Baik Kepada Ibu Sebanyak 3 Kali

Ibu merupakan antara manusia yang perlu dihormati dan wajib berbuat baik kepadanya. Islam sangat menitikberatkan perbuatan baik yang dianjurkan dilakukan oleh anak-anak kepada kedua ibu bapa mereka terutamanya kepada si ibu.

Ia merupakan antara ibadah terbesar selepas tauhid kepada Allah seperti yang dinyatakan melalui surah An-Nisa, ayat 36 yang bermaksud:

Mafhum: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”

Bahkan, terdapat banyak hadis yang pernah diriwayatkan oleh Baginda SAW untuk umatnya sentiasa ingat akan peri pentingnya berbuat baik dan patuh kepada ibu mereka.

Seperti dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki yang telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?” Maka, Baginda SAW menjawab:

Maksud: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya) kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2548)

Namun, apabila kita melihat kepada hadis dan anjuran berbuat baik, mengapa disebut perkataan ibu itu sebanyak tiga kali? Selepas itu, barulah disebut ayah, itupun cuma sekali.

Sebenarnya, tugas ibu itu sangat mulia dan tarafnya diangkat tinggi dek pengorbanan yang mereka telah curahkan. Berbuat baik kepada mereka adalah termasuk dengan berlemah lembut, merendahkan diri, mengasihi, mengambil berat dan memuliakan mereka.

Kita lihat seperti kisah Uwais al-Qarni yang sanggup menggendong ibunya untuk menunaikan Haji kerana masalah kesihatan ibunya yang menghalang daripada berjalan sendiri tanpa bantuan.

Uwais diriwayatkan telah menderita dengan penyakit kulit. Namun, berkat ketaatannya kepada ibunya, penyakit itu telah sembuh dan langsung tidak meninggalkan kesan kecuali di tapak tangannya.

Betapa hebatnya ganjaran kepada mereka yang taat dan sentiasa mendahulukan ibu mereka dalam setiap hal.

Imam Al-Qurtubhi menjelaskan hadis yang menyebut untuk berbuat baik kepada ibu sebanyak tiga kali kerana ia menunjukkan kecintaan seorang ibu kepada anaknya meliputi tiga kali kesakitan yang dialaminya, iaitu kesakitan semasa mengandung, kesakitan semasa melahirkan dan juga ketika menyusu serta merawat anaknya.

Ketiga-tiga kesakitan ini hanya dirasai oleh insan yang bergelar ibu sahaja. Dan inilah yang menjadikan taraf seorang ibu itu sebagai sebuah bentuk kehormatan yang tidak dimiliki oleh si ayah mahupun insan lain.

Tidak dinafikan, si ayah juga turut sama berjuang, menemani si ibu yang sakit ketika melahirkan, berjaga malam ketika si bayi merengek, dan berpanas hujan demi mencari nafkah untuk keluarga.

Disebabkan itu, kedua-dua mereka ialah insan yang perlu diangkat tinggi dan dihormati dek kepayahan mereka membesarkan anak-anak.

Justeru, berbuat baiklah kepada ibu anda, sayangilah ibu anda, taatilah ibu anda dan jangan dilupakan ayah anda yang sentiasa setia di sisi anda dan juga ibu anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.