Ads Top

Usah Curi Hand Sanitizer Untuk Kegunaan Peribadi – Gunakan Moral Walau Terdesak

Kecoh di media sosial berkenaan beberapa netizen yang mementingkan diri sendiri dengan membawa pulang hand sanitizer, iaitu cecair pembasmi kuman dan juga face mask (topeng muka) dari hospital. Tanpa segan silu, ada juga dalam kalangan mereka yang membuat posting di akaun media sosial mereka tentang perbuatan tersebut.

Masing-masing memahami bahawa ia adalah sebuah perbuatan yang salah kerana telah mengambil hak yang bukan sepatutnya. Bahkan, mereka juga mementingkan diri sendiri dengan merampas hak yang merupakan milik bersama.

Apabila diajar mengenai sivik dan nilai moral, kita tahu bahawa kehidupan di dunia ini bukan hanya untuk diri kita sahaja, namun adalah kehidupan bersama. Dalam setiap agama juga telah diajar bahawa perbuatan mengambil hak orang lain adalah sama dengan mencuri dan ia dicatat sebagai dosa.

Perbuatan seperti inilah yang patut dibuang dari dalam diri manusia. Yang perlu ditambah ialah sikap tidak mementingkan diri sendiri terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan semua insan berganding bahu, bukannya saling menolak bahu.

Apabila masing-masing menjalankan perintah yang disuruh oleh kerajaan mahupun agama, tidak mustahil jika suatu hari nanti kita pasti mampu untuk menambah sivik dalam jiwa setiap insan sekali gus dapat membendung rantaian penularan wabak ini. Dua dalam satu dapat kita rasai.

Namun, apabila dilihat akan situasi yang melanda, fahamlah kita bahawa segelintir manusia itu memang punya satu sifat sahaja, iaitu mementingkan diri sendiri semata-mata dan bukan keadaan mahupun orang sekeliling.

Jika topeng muka, cecair pembasmi kuman mahupun peralatan lain diberikan secara percuma atau memang diperuntukkan untuk dibawa pulang, maka ia tidak menjadi masalah mahupun dosa.

Namun, apabila ia adalah hak bersama, jelaslah bahawa ia milik semua orang yang berada di situ. Maka, apabila anda membawa pulang barangan tersebut, ia dikira berdosa dan perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang.

Berdasarkan sebuah hadis yang pernah diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Jika salah seorang dari kamu berjalan dan mendapati ada kambing dan jika ada tuannya, maka minta izin. Jika tuannya tidak ada, maka panggillah sebanyak tiga kali. Jika dia menyahut, maka minta izin. Jika tidak, maka perahlah dan minum. Akan tetapi, jangan diambil susu tersebut untuk dibawa balik.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, no. 1296)

Berdasarkan daripada hadis di atas, ulama seperti Sheikh Abdurrahman Mubarakfuri menyebut bahawa, hanya yang benar-benar memerlukan sahaja dibenarkan untuk memerah susu kambing tersebut (apabila tiada tuan).

Tambahan lagi, susu tersebut tidak perlu digantikan semula. Walaupun begitu, susu yang telah diperah tidak boleh dibawa pulang dan perlu diminum di situ.

Oleh itu, dalam isu mengambil cecair pembasmi kuman dan juga topeng muka yang disediakan untuk kegunaan umum sama ada di hospital mahupun di mana-mana tempat lain untuk dijadikan kegunaan peribadi adalah perbuatan yang tidak dibenarkan.

Ambil dan gunalah ia secara berpada berdasarkan aturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah tempat. Sebelum melakukan sesuatu, adalah lebih baik untuk berfikir dahulu akan mereka yang dibelakang anda.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.