Ads Top

Tabayyun – Sahihkah Berita Yang Anda Sebarkan?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melaporkan lima lagi individu disiasat dan diambil keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan COVID-19.

Suspek-suspek tersebut telah disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Tularnya berita-berita palsu berkenaan wabak ini memberi kekeliruan kepada semua orang. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ia terus tular tanpa diperiksa terlebih dahulu tentang kesahihannya.

Sedangkan dalam waktu-waktu ini, masyarakat seharusnya sama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam meletakkan usaha membantu negara.

Jika anda tidak mampu membantu dari sudut kewangan, bantulah diri sendiri dengan duduk di rumah dan sebarkan maklumat yang betul kepada semua. Dalam keadaan ini, setiap tindakan yang anda lakukan boleh memberi kesan kepada semua pihak sama ada kesan yang baik mahupun sebaliknya.

Bukan undang-undang manusia sahaja yang melarang daripada penyebaran berita palsu, bahkan undang-undang Islam juga.

Apabila sampai kepada anda berita yang diragui kesahihannya, adalah lebih baik untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyemak kembali berita tersebut atau berhenti menyebarkannya.

Tabayyun Sebagai Salah Satu Adab

Dalam Islam, menyemak kebenaran berita tersebut disebut sebagai tabayyun. Ia adalah untuk mengelak daripada sampainya perkara yang tidak diingini seperti fitnah, penipuan dan juga perbuatan memburukkan seseorang.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini.” (Surah Al-Hujurat, 49:6)

Menurut Ibnu Jarir, tabayyun itu adalah dengan menangguhkan seketika maklumat dan berita yang sampai kepada anda sehingga anda yakin akan kesahihannya.

Ia juga merupakan salah satu adab yang perlu diamalkan apabila berhubung dengan sesama manusia. Apa yang akan jadi jika anda tidak tabayyun?

Kesan yang paling jelas dapat dilihat ialah semua orang akan jatuh ke dalam perangkap berita tersebut. Bukan anda sahaja, bahkan setiap mata dan telinga yang membaca dan mendengar perkhabaran itu berkemungkinan akan percaya.

Tidak semua orang mempunyai pengetahuan antara yang hak dan batil, antara yang benar dan salah. Ada orang yang kurang terdedah dengan maklumat kerana kelompok pergaulan yang tidak besar. Ada pula yang mendapat maklumat yang lebih laju dan sahih kerana pergaulan sosial yang luas dan mencapah.

Anda boleh menilai sendiri berdasarkan komen dan perbualan yang terjadi dalam group whatsapp keluarga mahupun rakan-rakan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan berita yang sampai kepada anda itu adalah sahih dan boleh membantu orang ramai.

Maksud: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 5)

Seseorang itu bertanggungjawab dengan apa yang disampaikannya. Disebabkan itu manusia dianjurkan untuk berkata-kata perkara yang benar dan menyampaikan perihal yang sahih sahaja.

Jika tidak pasti, katakan tidak pasti. Jika tidak tahu, jangan malu untuk mengaku tidak tahu dan jika anda diberi pengetahuan akannya, sampaikanlah untuk kemaslahatan bersama.

Media sosial hari ini menjadikan manusia pantas dalam mendapatkan sesuatu informasi. Namun, adakah kepantasan itu menjadikan manusia memandang remeh akan kesahihan sesuatu berita atau sebaliknya?

Dalam era ini, manusia perlu bijak menggunakan segala teknologi yang terpampang luas depan mata. Gunakan ia ke arah kebaikan untuk membantu orang lain juga.




No comments:

Powered by Blogger.