Ads Top

Shuib Keluar Cecair Pembasmi Kuman Untuk Tampung Kekurangan Bekalan

Kekurangan bekalan barangan penting seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) sejak tersebarnya wabak Coronavirus (Covid-19) telah mendorong pelawak Shuib Sepahtu untuk mengeluarkan produk hand sanitizer-nya sendiri, Be Safe.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 36, dia terpanggil untuk mengeluarkan produk terbabit kerana kasihan melihat orang ramai tercari-cari hand sanitizer sehingga ada yang ditipu apabila membeli secara atas talian.

“Saya ada hubungi dengan pihak kilang pengeluar hand sanitizer dan memandangkan permintaan tinggi kini, saya kira ini masa yang sesuai untuk saya tampil dengan produk hand sanitizer sendiri.

“Bukan mahu ambil kesempatan tapi saya buat kerana ia adalah keperluan pada masa kini dan stok pula terhad,” katanya.

View this post on Instagram

#PKP #BeSafe #HandSanitizer #StayHome #Covid19 #Day8

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu) on

Tambah Shuib, produk tersebut sudah mula berada di pasaran dan akan diagihkan ke beberapa farmasi dan hospital.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shuib berkata, tugasnya sebagai penyampai radio menerusi segmen Geng Pagi Hot di Hot FM masih berjalan secara giliran.

Bagaimanapun kebanyakan masa dihabiskan di rumah bersama isteri, Siti Sarah Raisuddin dan tiga orang anaknya iaitu Uwais Alqarni, 9, Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, 4.

“Saya ikut arahan kerajaan, habiskan masa di rumah dan Alhamdulillah saya memang lebih suka duduk di rumah. Kalau bersenam pun saya buat dalam rumah.

“Saya ambil peluang luangkan masa dengan keluarga, kemas rumah, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja bahagian dalam rumah yang berubah.

“Buat masa ini, saya tutup kedai Bubble Bee di Shah Alam sebab tak mahu mendedahkan pekerja dan pelanggan kepada risiko,” ujarnya lagi yang turut berdoa agar wabak ini cepat pulih agar setiap rakyat Malaysia dapat kembali melakukan rutin harian seperti biasa. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.