Perlukah Mendahulukan Orang Lain Untuk Solat Di Saf Pertama
Perbuatan mendahulukan orang lain dalam Islam dipanggil Ithar. Ia bererti perbuatan melebihkan orang lain berbanding dirinya sendiri. Inilah sikap yang diterapkan semasa peristiwa hijrah – Kaum Islam Madinah (Ansar) mengutamakan keperluan saudara Islamnya yang baru tiba dari Mekah (Muhajirin) melebihi diri mereka sendiri dalam banyak hal.
Namun begitu, adakah tindakan mendahulukan orang lain ini terpakai dalam semua perkara termasuk dalam hal ibadah?
Kaedah fiqh ada menyebutkan,
الإيثار في القرب مكروه وفي غيرها محبوب
Maksudnya: Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh, manakala ithar dalam perkara yang lain adalah satu perkara yang terpuji. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair Lil Suyuti, 1/117)
Justeru, tindakan mendahulukan orang lain hanya dibenarkan dalam hal-hal keduniaan sahaja seperti harta benda, makanan, minuman, perkhidmatan, kenderaan dan lain-lain. Ithar dalam perkara ibadah pula seperti mendahulukan orang lain untuk solat di saf pertama atau bertawaf adalah perbuatan yang makruh dan bukanlah sunat.
Manakala ulama Mazhab Syafie mengeluarkan pendapat bahawa tidak boleh mengutamakan orang lain dalam perkara berkaitan ibadah. Perbuatan mendahulukan orang lain untuk solat di saf pertama hukumnya juga makruh.
Sebaik-baik Saf Bagi Lelaki Dan Perempuan
Manakala dalam isu saf, kita kerap mendengar bahawa saf yang paling baik adalah saf yang paling hadapan. Adakah aturan ini terpakai bagi saf lelaki dan juga perempuan?
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya: Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan. (Riwayat Muslim, no.440)
Maksud saf yang paling baik dan paling buruk adalah daripada sudut perolehan pahala dan tuntutan syarak. Bermaksud, saf paling hadapan mendapat kebaikan dan pahala paling banyak begitu pula sebaliknya.
Yang dimaksudkan dengan kelebihan saf paling baik bagi perempuan adalah yang paling belakang hanya apabila solat jemaah yang dilakukan melibatkan lelaki dan perempuan.
Tetapi jika solat jemaah yang dilakukan melibatkan golongan wanita sahaja, maka hukumnya kembali kepada asal – saf yang terbaik adalah saf pertama dan yang terburuk adalah paling belakang.
Kesimpulannya, kita harus berlumba-lumba dalam melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT. Namun, perlu diingat, dalam kita mengejar keutamaan pahala dan rahmat Allah, adab masih perlu dijaga. Usah sampai berkasar dan menyakiti orang lain.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: