Ads Top

Pendapat Ulama Berkenaan Laungan Azan Yang Ditukar Sewaktu Mudarat

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mempersembahkan cadangan perlaksanaan azan kepada Duli yang Maha Mulia bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dan menggalakkan semua untuk solat di rumah sahaja.

Sehubungan dengan itu, azan telah dilaungkan seperti biasa. Namun lafaz laungan hayya ‘ala al-Solah diperlahankan. Selepas azan, bilal akan memberitahu kepada masyarakat dengan lafaz – ‘Solatlah kalian di tempat tinggal kalian”.

Sebelum itu juga, telah tular sebuah laungan video azan di media sosial berkenaan bilal di Kuwait yang telah menukar laungan hayya ‘ala al-solah kepada assolatu fi buyutikum yang bermaksud solatlah kamu di rumah kamu.

Jadi, timbul persoalan di kalangan umat Islam di sini, adakah lafaz ‘solatlah di rumah kamu’ itu perlu dilaungkan selepas azan atau digantikan pada laungan hayya ‘ala as-solah.

Justeru, menurut penerangan yang telah diberikan oleh jumhur ulama, masing-masing bersetuju bahawa kedua-dua kaedah boleh diguna pakai kerana kedua-duanya pernah digunakan pada zaman Baginda SAW.

Ia adalah sunnah Nabi Muhammad SAW yang telah ditinggalkan kepada umatnya yang pernah berlaku dan boleh digunakan ketika keadaan mendesak atau boleh menimbulkan mudarat sama seperti yang sedang kita lalui sekarang.

Berikut merupakan dua pendapat yang dibahaskan oleh jumhur ulama:

#1 – Lafaz Ditukar Di Akhir Azan

Pendapat para ulama Syafieyyah berkata bahawa, disunatkan untuk muazzin melaungkan azan dengan tambahan lafaz – “Hendaklah kamu solat di tempat tinggal kamu” pada akhir azan.

Maksud: “Daripada Nu’aim bin al-Nahham RA berkata ketika mendengar muazzin Nabi SAW melaungkan azan – “Apabila sampai pada hayya ‘ala al-Falah, muazzin berkata: “Solatlah kalian di rumah kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17933)>/small>

#2 – Lafaz Disebut Di Tengah Azan

Sebahagian ulama lain juga tidak menolak akan pandangan lafaz tersebut diganti dengan laungan “solatlah di rumah kamu.” Hal ini memegang kepada peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Baginda SAW juga dan disampaikan oleh Ibn Abbas.

Maksud: “Pada suatu hari, Ibn Abbas sedang menyampaikan khutbah kepada kami dalam keadaan hari penuh dengan lumpur. Apabila muazzin sampai pada hayya ‘ala al-Salah, dia diperintahkan untuk mengucapkan – “Solatlah kamu di rumah kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 616)

Adapun sebahagian ulama lain berpendapat bahawa lafaz hayya ‘ala al-solah tidak boleh ditinggalkan. Seperti perbahasan daripada Imam Nawawi, beliau cenderung bahawa lafaz azan perlu dilakukan seperti biasa dan ditambah di akhirnya suruhan untuk solat di rumah atau tempat sendiri.

Disebabkan itu, melihat kepada situasi yang berlaku di tempat kita, pendekatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dilakukan dengan mengikut pendapat yang dikeluarkan daripada para ulama mazhab Syafi’e dan juga Imam Nawawi.

Kesimpulan

Justeru, kedua-dua laungan azan tersebut boleh digunakan. Namun, perlu diingat bahawa ia perlu dilakukan menurut arahan pemerintah semasa.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang peka akan keadaan semasa, turutilah arahan yang diberikan oleh pemerintah semasa. Ia bukan sahaja arahan daripada kerajaan namun merupakan sunnah yang wajar diikuti.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.