Ads Top

Jalani Tempoh PKP Dengan Ibu Bapa, Ini 6 Perkara Perlu Diambil Berat

Tempoh dua minggu berada di rumah tanpa melakukan rutin kerja kebiasaan pasti terasa lama bagi ramai orang. Ada yang terpaksa melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersendirian di rumah sewa. Ada yang terpaksa berpisah dengan pasangan suami atau isteri kerana tuntutan kerja.

Buat mereka yang perlu melalui tempoh ini bersama anak-anak dan ibu bapa pula, maka pasti ada perkara lain yang perlu dititik beratkan. Mari kita teliti apakah adab dan perkara yang perlu diambil berat sepanjang anda menjalani tempoh PKP bersama ibu bapa dan keluarga.

#1- Saling Berkongsi Wang Belanja Untuk Membeli Barang Dapur

Sebelum ini anda mungkin hanya memberikan wang belanja bulanan kepada ibu bapa. Namun ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) ini berlangsung, rutin pasti jadi sedikit berbeza apabila bekalan makanan perlu dibeli dalam kuantiti yang banyak sekaligus memerlukan wang belanja lebih.

Tidak salah untuk bantu-membantu meringankan beban ibu bapa dengan mewujudkan tabung simpanan untuk digunakan pada musim ini.

#2- Saling Membantu Menyediakan Hidangan Untuk Ahli Keluarga

Memasak dengan kerap lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak tidak dinafikan adalah suatu yang memenatkan dalam tempoh yang lama – makan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam – ia perlu diulang dalam tempoh dua minggu.

Caranya, anda boleh membuat giliran memasak atau meringankan beban dengan sentiasa membantu di dapur.

#3- Tidak Menyusahkan Dan Memenatkan Ibu Bapa Dengan Kerenah Anak Anda

Tidak ada orang tua yang tidak gembira apabila dapat menghabiskan masa bermain dengan cucu mereka di rumah. Namun di musim PKP ini, masa yang dihabiskan bersama pasti lebih lama daripada biasa.

Kebiasaannya, ibu bapa yang sudah berada dalam fasa warga emas juga akan cepat penat dengan kerenah kanak-kanak kecil.

Bagi anda yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang ramai, beri perhatian lebih kepada keadaan ibu bapa dan elakkan kerenah anak-anak anda daripada menyusahkan mereka.

#4- Ajar Anak-Anak Untuk Berdikari

Ajak anak-anak supaya mengatur keperluan diri sendiri. Contohnya mengemas tempat tidur sendiri, membasuh pinggan sendiri dan tidak mengotorkan rumah nenek dan atuk yang didiami.

#5- Jadi Lebih Prihatin Dengan Keadaan Rumah Dan Dapur

Ramai yang mula merungut bahawa dapur menjadi tempat yang akan sentiasa disinggahi oleh anak-anak kecil setiap masa pada musim ini. Bermakna pinggan dan gelas yang kotor akan sentiasa berlonggok jika tidak disedari. Ia pastinya sesuatu yang memenatkan apabila sentiasa perlu mengemas dapur.

Jadilah lebih prihatin dengan keadaan rumah dengan saling membantu mengemas rumah, kawasan dapur, membasuh dan menjemur baju dan lain-lain.

#6- Bersabar Dengan Keperluan Ibu Bapa

Selama ini anda mungkin tidak sentiasa berada dengan ibu bapa dalam tempoh yang lama. Justeru, anda tidak berhadapan dengan masalah dan kerenah ibu bapa sendiri di rumah – contohnya ibu bapa yang suka merungut, tidak dapat tidur lena pada waktu malam, tidak mahu makan dan sebagainya.

Bersabar dengan keperluan ibu bapa dan cuba bertoleransi dengan mereka. Inilah waktunya untuk mewujudkan komunikasi yang telus dan sihat antara seisi keluarga.

Kesimpulannya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin lebih-lebih lagi jika anda menjalaninya bersama ibu bapa dan ahli keluarga. Usah melihat perkara ini daripada sudut negatif semata-mata namun ciptalah masa berkualiti bersama!




No comments:

Powered by Blogger.