Ads Top

COVID-19 – Bolehkah Menunaikan Solat Sunat Jenazah Secara Ghaib

Solat sunat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di tempat lain yang berjauhan dengan jenazah. Pensyariatan solat sunat jenazah ghaib ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Maksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musollah (surau), membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1245)

Menurut penjelasan yang pernah diberikan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, solat itu boleh dilakukan apabila seseorang itu tidak berada di hadapan jenazah atau tempat yang jauh.

Perlaksanaannya adalah sama dengan solat jenazah yang biasa dilakukan. Apa yang menjadi perbezaannya adalah keberadaan jenazah tersebut.

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, waktu melakukan solat jenazah ghaib ini adalah bermula dari sampainya khabar kematian dan berlanjutan sehingga tiga hari.

Tertib solat sunat jenazah ghaib ini pula merangkumi empat kali takbir, berdiri membaca surah Al-Fatihah, berselawat ke atas para nabi dan berdoa kepada si mati.

Adapun, berikutan dengan wabak COVID-19 yang menyerang negara kita, mereka yang dikuarantin dan telah mendapat perkhabaran saudara mahupun ahli keluarga yang terdekat yang telah dijemput Ilahi terlebih dahulu – adakah dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat jenazah secara ghaib?

Situasi ini boleh terjadi apabila seseorang yang meninggal akibat jangkitan virus ini tidak dibenarkan untuk diurus oleh ahli waris terdekat. Situasi lain pula boleh jadi apabila seseorang itu sendiri telah dikuarantin dan tidak dibenarkan keluar bagi mengelakkan kemudaratan kepada orang lain.

Jadi, para ulama berpendapat bahawa dibolehkan untuk menunaikan solat sunat jenazah ghaib ini untuk mendoakan si mati dan melaksanakan hak-hak yang sepatutnya seperti hak sebagai seorang anak ataupun sebagai muslim sendiri.

Melihat kepada penyataan yang diberikan oleh Mufti Wilayah, apabila wujudnya keuzuran tertentu, maka dibolehkan untuk seseorang menunaikan solat jenazah ghaib.

Hal ini adalah sama dengan kemudaratan yang perlu dielakkan jika berada dalam situasi ini. Justeru, ayuhlah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan buat mereka yang telah gugur dalam mengharungi wabak ini.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Tatacara Solat Sunat Jenazah Ghaib

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.