Ads Top

Bagaimana Mengurus Emosi Bersama Pasangan Di Kala Pandemik COVID-19

Pada 11 Mac 2020, World Health Organization yang diketuai oleh Tedros Adhanom telah mengumumkan dalam satu sidang media mengenai situasi semasa penularan wabak Covid-19 sebagai situasi “Pandemik”. Pengisytiharan ini telah mengambil kira segala data dan maklum balas bagi setiap negara yang telah terinfeksi dengan virus tersebut.

Setelah pengisytiharan itu berlaku, kebanyakan negara yang telah dijangkiti di benua Eropah telah mengambil insiatif untuk lockdown (perintah sekatan masuk dan keluar) keseluruhan bandar utama yang menjadi punca ia tersebar dengan meluas. Saya sendiri terbaca kesan-kesan dari tindakan kerajaan dalam mengawal penyakit yang menular ini adalah amat baik dari segi kesihatan.

Namun begitu, terdapat juga kesan-kesan sampingan yang perlu kita ambil iktibar terutamanya dari aspek kesihatan mental – bagaimana kita dalam mengharungi detik-detik sukar, cemas dan ternanti-nanti apakah keputusan kerajaan yang seterusnya.

Nabi SAW ada bersabda di dalam sebuah hadis:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.” (Hadis Riwayat Bukhari, 5707)

Kita dianjurkan untuk menjaga diri. Bahkan, salah satu saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) ialah mengamalkan social distance, iaitu menjarakkan diri dengan orang lain sekurang-kurangnya sejauh 1 atau 2 meter.

Apa Yang Berlaku Sepanjang Perintah Berkurung

Ada beberapa negara cukup sekadar mengamalkan jarak sosial dan ada juga yang terus diperintahkan berkurung di dalam rumah selagi mana tiada pengumuman yang menandakan keadaan semakin pulih.

Apa yang saya hendak fokuskan disini ialah bagaimana kita bersama pasangan atau ahli keluarga mengendalikan emosi tatkala dilanda wabak pandemik sebegini.

Baru-baru ini saya baru terbaca di sebuah akhbar atas talian berkenaan dengan kenaikan statistik permohonan perceraian di wilayah Xi’an di China seperti dilaporkan The Global Times. Seorang pegawai kesihatan disitu telah diajukan soalan oleh wartawan bagi memberi pandangan memberi situasi ini. Jawabnya, situasi ini berlaku boleh jadi ada dua sebab, iaitu :

#1 – Penutupan pejabat-pejabat kerajaan, maka kes perceraian yang selama lockdown itu berlaku penangguhan yang mengakibatkan permohonan dan lambakan kes-kes tersebut.

#2 – Akibat dari lockdown telah menyebabkan banyak pasangan tidak mampu menguruskan emosi tegang sepanjang dalam situasi cemas di dalam rumah. Selalu bersua muka dari aspek psikologi boleh membuatkan emosi pasangan mendatar dan mulai bengkak yang akan meletus bagai gunung berapi.

Menurut ahli psikologi, Rob Pascale dan Lou Primavera (PhD) penulis buku Making Marriage Work telah berkata bahawa pasangan yang tidak mengamalkan pembahagian waktu, perpisahan sementara seperti ada waktu bersosial bersama rakan, ada waktu bekerja dan waktu untuk mengeratkan keintiman, maka sesebuah hubungan itu akan mengalami konflik. Tambahnya lagi, dalam perhubungan perlu ada kesederhanaan dalam bertemu dan berpisah.

Ini yang menjadi akar umbinya, iaitu apabila kita berada dalam situasi perintah berkurung sudah tentu kita tiada perpisahan itu semua. Maka, lama kelamaan emosi tersebut menjadi lesu kerana sering melakukan perkara yang sama.

Uniknya manusia, selain mempunyai keperluan makan dan minum serta tempat tinggal yang menjadi keutamaan, mereka juga mencari hubungan sosial sesama manusia lain.

Manusia bukan seperti haiwan yang boleh diletakkan dalam ‘sangkar’ dalam tempoh lama. Disebabkan itu, wujudnya tamadun dalam kalangan manusia, bukan seperti haiwan yang habitatnya sama sahaja dari dulu sehingga kini.

Jalan Kelur Untuk Pengurusan Emosi

Maka apa solusi yang boleh kita lakukan untuk mengekang masalah kesihatan mental ini daripada terus merudum sehingga menggugat kestabilan perhubungan yang dibina?

Dr. Guy Winch ada menulis sebuah artikel bagi memberikan kita semua jalan keluar daripada mengalami mental-breakdown akibat dari gesaan kerajaan dalam mengamalkan jarak sosial atau lockdown ini.

Kata beliau, jika kita tidak menguruskan masalah mental, ia boleh menyebabkan sistem ketahanan tubuh badan kita terjejas dan memudahkan seseorang mendapat sakit secara fizikal.

Untuk mereka yang mempunyai kes Covid-19 sama ada telah terjangkiti pada diri atau pasangan dan telah mendapat arahan untuk mengamalkan kuarantin selama 14 hari, disini ada jalan keluar bagaimana hendak menguruskan rasa sunyi, lesu, dan terasa asing:

1 – Gunakan Video-Calling Untuk Kekalkan Kepedulian

Kita boleh menggunakan aplikasi Whatsapp sebagai contoh untuk buat panggilan video secara langsung dan mengambil tahu keadaan antara satu sama lain, bercerita mengenai rutin harian, filem apa ditonton atau apa sahaja yang boleh kekalkan hubungan secara berpanjangan.

2 – Sentiasa Menegur Orang Lain Di Atas Talian

Seperti yang kita tahu, apabila kita terpaksa berada dalam keadaan kuarantin, kita tiada masa untuk bersosial dengan kawan sekerja, setempat atau bersama pasangan. Maka, gunakanlah peluang ini untuk menyenaraikan nama mereka dalam nota kita dan hubungi sentiasa bagi mengeratkan lagi hubungan seperti biasa.

Tidak susah, paling kurang pun, anda boleh membalas story yang dilakukan mereka sama ada di ruang Instagram mahupun Facebook. Hal ini supaya kita tidak berasa kesunyian dan mereka juga begitu.

3 – Berbual Secara Mendalam Dan Bermakna

Carilah pasangan, ahli keluarga dan sahabat handai yang rapat dan selesa untuk kita bercerita. Luahkan isi hati, kesedihan dan perkara-perkara yang sentiasa bermain di fikiran kita agar kita tidak berasa kosong dalam waktu kuarantin ini.

Kadangkala kita rasa perbualan melalui Whatsapp dengan kenalan itu sudah memadai, walhal sebenarnya tidak. Perbualan mendalam amat berbeza dengan perbualan rutin harian biasa, kerana ia melibatkan emosi yang hanya difahami oleh orang lain yang mempunyai sikap empati.

Kesimpulan

Apa yang membuatkan perbualan kita itu bermakna ialah apabila kita berkongsi perasaan yang sama seperti ketakutan, harapan, kesedihan dan seumpamanya. Bukan hanya satu hala, tetapi kedua-dua hala yang menyokong antara satu sama yang lain.

Kita perlu menjaga kesihatan mental sekalipun ramai pihak yang menfokuskan hanya pada fizikal, kerana masalah psikologi turut menyumbang kepada masalah fizikal seperti kemurungan dan kerisauan melampau.

Rujukan:

1. How To Manage Loneliness During Pandemic
2. 2. The coronavirus may be driving up divorce rates in a Chinese city




No comments:

Powered by Blogger.