Ads Top

Adakah Kematian Akibat Koronavirus Dianggap Mati Syahid?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikan situasi penularan Virus Koronavirus (COVID-19) sebagai pandemik. Ia merujuk kepada wabak yang telah menyerang dalam skop yang lebih besar dan boleh mengancam kawasan yang lebih luas seperti negeri, negara mahupun benua dalam masa yang sama.

Ia bermula daripada penularan wabak di peringkat yang kecil dan mula merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh jumlah yang ramai dalam tempoh masa yang singkat.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri bersama-sama dengan agensi kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Agama telah mengeluarkan arahan untuk menjaga kesihatan diri sendiri dengan sentiasa mencuci tangan dengan sempurna, memakai topeng muka serta cecair pembasmi kuman untuk mencegah virus ini.

Bukan itu sahaja, manusia perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan daripada menghadiri tempat yang terdedah dengan ramai orang terutamanya perhimpunan-perhimpunan yang melibatkan orang luar. Buat masa ini, adalah lebih baik untuk mengkuarantinkan diri bagi mencegahnya.

Di Malaysia, kerajaan mengumumkan bahawa ia masih lagi berada dalam keadaan terkawal dan rakyat tidak perlu panik walaupun sedang berada dalam fasa gelombang kedua.

Yang penting, kita perlu mengikut langkah-langkah dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kesihatan kerana panik tidak membantu apa-apa bahkan akan menyebabkan keadaan lebih memburuk.

Adapun, angka kematian yang telah dicatatkan setakat hari ini telah meningkat kepada 4719 mangsa dengan statistik yang paling tinggi adalah daripada China. Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi berada dalam keadaan terkawal dengan tiada angka kematian yang dicatatkan.

Adakah Kematian Mereka Dikira Syahid

Tahukah anda, pada tahun 18 Hijrah, wabak taun pernah merebak ke seluruh daerah di negeri Syam. Peristiwa tersebut telah menyebabkan ramai sahabat Baginda SAW meninggal dunia dan dikhabarkan bilangan Muslimin yang meninggal mencecah hampir 25 ribu orang.

Baginda SAW pernah mengkhabarkan dalam periwayatannya yang menyebut bahawa, taun merupakan salah satu kematian yang diangkat sebagai mati syahid. Adapun, kesyahidannya bukanlah bermaksud jenazah mereka perlu diuruskan seperti orang yang berperang. Sebaliknya, syahid mereka bermaksud Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, manakala pengurusan jenazah mereka adalah seperti biasa.

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ : المَطْعُونُ ، وَالمَبْطُونُ ، وَالغَرِيقُ ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksud: “Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid, iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”

Taun merupakan sejenis wabak penyakit yang sangat berbahaya sehinggakan Baginda berkata – “Larilah kamu daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5707)

Menurut Dr. Norhayati Rusli, taun ialah penyakit yang berpunca daripada air dan makanan. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria yang boleh mengakibatkan dehidrasi yang teruk sehingga boleh membawa maut.

Walau bagaimanapun, para ulama telah berselisih pendapat berkenaan taun. Sebahagian ulama seperti al-Dawudi dan Ibn al-Athir berpendapat bahawa wabak penyakit berjangkit juga adalah diklasifikan sebagai taun. Manakala, Al-Khalil dan Qadi Iyadh juga menyokong pernyataan tersebut.

Justeru, kaedah taun ini bukan hanya spesifik kepada penyakit taun semata-mata, namun kepada semua jenis penyakit berjangkit yang kematiannya berlaku dalam masa yang singkat dan menyakitkan. (Kitab Thibbun Nabawi, Ibnu Qayyim al-Jauziah)

Menurut Majlis Fatwa Wilayah Kurdistan melalui fatwanya yang telah dikeluarkan pada awal Mac lepas menyebut bahawa muslim yang meninggal dunia disebabkan penyakit coronavirus ini dianggap sebagai mati syahid.

Walaupun ia dikira sebagai syahid, namun menjadi tanggungjawab semua manusia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak sengaja mendedahkan diri dalam bahaya. Ikutilah arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan sentiasa peka dengan maklumat terkini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan semasa mengenai corona, anda boleh tekan pautan web Corona Trackers di Corona Tracker dan juga portal rasmi kementerian kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Kajian Perubatan Melalui Wahyu Nabi




No comments:

Powered by Blogger.