Ads Top

Iman Dalam Jiwa Akan Bertukar Menjadi Cahaya Sebenar Di Akhirat

Hidayah dan iman sering digambarkan sebagai cahaya dalam Al-Quran.

“…bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu…”(Surah An-Nur 24:35)

Diceritakan bahawa lampu itu pula umpama bintang yang bersinar terang, menerangi setiap apa yang ada di sekeliling.

Mengapa hidayah diumpamakan seperti cahaya yang bersinar terang? Kerana sifat cahaya itu memancar dan terserak. Ia tidak akan hanya terbendung dan terhalang dalam satu ruang sahaja.

Begitu juga iman yang ada dalam hati. Ia tidak hanya memberi kesan baik kepada pemilik hati itu sahaja bahkan kepada setiap orang yang berada di sekelilingnya.

Namun sering kali kita tidak menyedari cahaya iman yang menghuni jiwa. Kita membuat ia semakin malap dengan kesalahan dan dosa yang dilakukan sehingga ia tidak lagi mampu memberi manfaat kepada diri sendiri.

Bilakah Cahaya Akan Dihargai?

Cahaya biasanya dihargai apabila kegelapan menyelubungi sahaja. Seperti rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik pada waktu malam, waktu itulah kita mula mencari sumber cahaya supaya kita mampu melihat walaupun dalam gelap.

Begitu juga iman akan diuji oleh kesukaran, kesedihan, ketakutan sehingga ia benar-benar menjadi iman yang mempunyai kualiti cahaya yang sebenar. Iman akan benar-benar terasa diperlukan pada saat manusia mula hilang arah, hilang ketenangan dan kebahagian dalam jiwa.

Iman Dalam Dada Akan Bertukar Cahaya

Iman memang tidak dapat dilihat ketika di dunia, namun di akhirat nanti Allah akan menukarkannya menjadi cahaya yang benar-benar dapat dilihat oleh mata dan kita akan berjalan dengan cahaya tersebut menuju syurga.

Cahaya ini pula tidak sama bagi semua orang. Ada yang cahayanya tidak cukup terang dan ada yang cahayanya penuh gemilang sehingga terang sepanjang perjalanan – daripada tempat dia berdiri sehingga ke tempat yang ingin dituju. Pada waktu tersebut setiap orang berharap mampu memilikinya.

Cahaya yang dimiliki oleh setiap orang pada waktu itu berbeza bergantung kepada kualiti iman yang dimiliki oleh masing-masing ketika di dunia.

Seperti yang disebutkan dalam hadis riwayat Muslim, bahawa rombongan pertama yang masuk syurga cahayanya seperti bulan pada malam purnama, dan rombongan selanjutnya seperti cahaya bintang di langit.

Dan akhirnya Allah memberi dua perumpamaan keadaan bagi orang yang tidak beriman. Pertama, amal-amal mereka ibarat fatamorgana ketika waktu panas terik. Dari jauh, ia kelihatan seperti riak air yang mampu menghilangkan dahaga tetapi apabila sampai ke tempat yang dituju, tidak ada sebarang air yang dijumpai.

Keadaan kedua, mereka seperti berada dalam kegelapan lautan pada waktu malam, ditindih ombak yang berlapis-lapis. Mereka dalam keadaan gelap gelita tanpa sekelumit cahaya.

“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan.”(Surah Al-An’am 6:122)

Dan akhirnya saksikan apa yang diperkatakan oleh orang yang tidak beriman kepada orang yang beriman,

“Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”

Lalu orang beriman menjawab dengan nada sinis,

“Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya di sana” (Surah Al-Hadid 57:13)

Mereka berada dalam kegelapan dan tidak mampu mencari jalan. Tidak ada lagi yang mampu menyelamatkan mereka ketika itu kerana segalanya telah terlambat.

Justeru, carilah cahaya bekalan sejak di dunia melalui amalan-amalan yang telah disebutkan dalam Al-Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Iman itu akan bertukar menjadi cahaya sebenar yang mampu kita lihat di akhirat kelak.

Rujukan:
Podcast Bayyinah




No comments:

Powered by Blogger.