Bolehkah Makan Haiwan Hasil Aktiviti Perburuan
Penyembelihan merupakan salah satu bentuk ihsan yang ditekankan dalam Islam bagi menjaga hak terhadap binatang yang disembelih dan memelihara kebersihan serta kehalalannya.
Kita diajar untuk menyembelih haiwan ternakan dan yang boleh dimakan dengan penyembelihan yang bertauliah dan tidak menyembelihnya dengan perkara yang boleh menyakiti fiziklnya serta perasaannya. Antara sebab yang boleh menyakitinya ialah menggunakan pisau yang tumpul atau dengan menyembelih di hadapan haiwan yang lain.
Disebabkan itu kita digalakkan untuk menggunakan alatan yang tajam untuk mematikan mereka. Namun, bagi seorang pemburu, mereka akan menggunakan senapang atau lembing untuk memburu binatang.
Namun, apakah sebenarnya dibolehkan memburu binatang dan apa pula status haiwan yang diburu tersebut.
Jumhur ulama berbahas dan menyebut bahawa memburu binatang adalah harus kerana alatan yang digunakan seperti senapang dan lembing itu adalah diqiyaskan (sama) kepada benda yang tajam seperti lemparan panah dan lain-lain.
Jika pemburu tersebut telah menembaknya sehingga ia mati, kematian buruan itu dianggap sebagai sembelihan darurat dan ia adalah halal dimakan.
Ibnu Kathir pula berpendapat bahawa, haiwan buruan yang halal dimakan adalah yang dihalalkan sahaja dan bukan haiwan yang dilarang makan seperti singa atau babi hutan.
Diriwayatkan daripada Rafi’ bin Khudaij RA, iaitu:
أَصَبْنَا نَهْبَ إِبِلٍ وَغَنَمٍ وَفي رِوَايَةٍ، وَفي الْقَومِ خَيلٌ يَسِيرُ فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ، فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ أَي مَاتَ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ لِهَذِهِ البَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ، فَمَا فَعَلَ مِنْهَا هَكَذَا، فَافْعَلُوا به مِثلَ ذَلِكَ
Maksud: “Kami dapat harta rampasan perang, iaitu unta dan kambing. Dalam riwayat yang lain menyatakan bahawa bersama-sama kumpulan itu, terdapat seekor kuda melalui tempat itu dan menyebabkan seekor daripada unta tawanan itu terperanjat dan terus lari. Lantas, unta itu dipanah oleh seorang lelaki dan menyebabkan ia mati. Sabda Rasulullah SAW: “Di kalangan binatang ini, terdapat juga yang liar, sebagaimana binatang yang lain. Justeru, kepada binatang yang bertindak demikian, lakukanlah sebagaimana binatang liar yang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5190)
Tuntasnya, perburuan itu merupakan perbuatan yang dibolehkan dan hasil dari perburuan (yang halal) adalah halal dimakan. Walau bagaimanapun, para penggemar aktiviti perburuan juga perlu merujuk kepada undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak penguasa. Terdapat haiwan yang disenarai sebagai haiwan terancam dan dilindungi oleh undang-undang, justeru ia juga perlu diikuti.
Rujukan:
Muslim.or.id
No comments: