Ads Top

Ihsan Terhadap Haiwan – Semut Bagaimana Yang Boleh Dibunuh

Semut merupakan antara binatang yang disebut dalam Al-Quran dan juga beberapa dalil serta telah menjadi perbahasan ulama.

Kisahnya juga sangat terkenal pada zaman Nabi Sulaiman AS yang boleh berbicara dengan binatang. Baginda merupakan nabi yang ke-18 yang wajib diketahui oleh umat Islam dan merupakan salah seorang putera kepada Nabi Daud AS.

Salah satu mukjizat yang telah dikurniakan Allah kepada Baginda selepas diangkat menjadi rasul ialah dapat berkomunikasi dengan haiwan sama ada ikan, semut, burung dan banyak lagi.

Kisahnya yang terkenal ialah dengan kumpulan semut. Diceritakan melalui kitab-kitab sahih yang menyebut bahawa, sewaktu perjalanan baginda dan rombongannya ke sebuah daerah, mereka melalui sebuah lembah dan di situ baginda mengarahkan kumpulannya untuk berhenti sejenak bagi memberi ruang kepada kumpulan semut untuk masuk ke sarangnya agar tidak mati dipijak oleh rombongan mereka.

Di dalam tafsir Al-Jalalayn dikatakan bahawa lembah tersebut ialah di kota Thaif atau di negeri Syam.

Nabi Sulaiman AS telah berbicara kepada ketua (raja) semut supaya mereka tidak dipijak oleh tentera baginda.

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Mafhum: “Maralah angkatan itu hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.” (Surah An-Naml, 27:18)

Hukum Membunuh Semut

Melalui Ma’alim al-Sunan (2/283) menyebut bahawa – semut itu terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama yang membawa mudarat maka dibolehkan (membunuhnya) bagi mengelakkan mudarat. Manakala, kumpulan kedua adalah semut yang tidak memberi mudarat. Semut jenis ini mempunyai kaki yang panjang dan tidak dibolehkan membunuhnya.

Menurut pendapat yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah , jika semut tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada kita, maka hukumnya adalah tidak dibenarkan membunuhnya.

Hal ini kerana, tiada sebab yang khusus yang membolehkan anda membunuhnya. Walau bagaimanapun, jika semut tersebut membawa mudarat, maka dibolehkan membunuhnya. Hal ini dirujuk melalui pendapat yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Ibn Uthaimin dan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili.

Imam An-Nawawi juga menyebut melalui sebuah hadis Ibn Abbas – Tidak boleh membunuh lebah, semut, burung dan katak. Hal ini disebut selagi mana hidupan mereka tidak memberi mudarat kepada manusia.

نَهَى رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ عن قَتلِ أربعٍ منَ الدَّوابِّ، النَّملةِ، والنَّحلَ، والهُدهُدِ، والصُّرَدِ

Maksud: “Rasulullah SAW melarang membunuh empat jenis binatang yang melata: semut, lebah, hudhud (burung) dan salah satu jenis burung.” (Hadis Riwayat Abdu Daud, no 3215)

Kesimpulan

Selagi mana haiwan itu tidak memberi mudarat kepada hidupan manusia, maka tidak dibolehkan membunuh mereka. Jika ingin membunuhnya (jika haiwan tersebut memberi mudarat), maka bunuhlah dengan ihsan.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.