4 Amanah Yang Akan Ditanya Kelak – Umur, Ilmu, Harta Dan Diri
Amanah berasal daripada perkataan Arab (أمن) yang bermaksud dapat dipercayai. Maksud dari sudut bahasanya boleh difahami sebagai tenteram, aman, selamat dan harmoni.
Manakala dalam maksud yang lebih luas, amanah adalah penjagaan terhadap janji dan pemeliharaan terhadap apa yang diamanahkan. Menurut Ibn Araby, amanah adalah segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya.
Antara amanah yang paling jelas dapat dilihat pada diri seorang manusia adalah amanah usia (masa), ilmu, harta serta tubuh badannya sendiri seperti mana yang terkandung dalam hadis di bawah.
Disebutkan daripada Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah SAW bersabda: Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, kemana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya” (HR Tirmizi, no.2341 – Status Hadis Sahih)
Ibnu Kathir rahimahullah berkata, “Menunaikan amanah yang dimaksudkan adalah umum merangkumi segala yang diwajibkan pada seorang hamba, baik hak Allah atau hak sesama manusia” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 4:124)
Umur dan masa yang dipinjamkan, ke mana dihabiskan dan dimanfaatkan?
Ilmu yang dicari dan diperoleh pula bukan untuk tujuan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.
Antara persoalan yang perlu difikirkan ialah.
Adakah ilmu yang dimiliki bermanfaat?
Adakah ilmu tersebut diamalkan?
Adakah ilmu tersebut disebarkan?
Setiap harta yang dimiliki juga akan ditanya.
Adakah ianya diperoleh melalui jalan yang halal atau haram?
Setiap sen yang dibelanjakan pula akan ditanya ke mana ia dibelanjakan?
Adakah manusia menjadi kedekut kerananya? Adakah manusia mengeluarkan sedekah daripadanya?
Tubuh badan yang kita gunakan untuk melakukan pekerjaan setiap hari ini juga akan ditanya.
Adakah ia melihat perkara yang baik, mendengar perkara yang baik?
Adakah kita menggunakannya untuk mendatangkan kebaikan kepada manusia atau menyakiti manusia dengannya.
Justeru, semasa hidup, persoalan penting ini perlu sentiasa ditanyakan kepada diri supaya kita sedar tentang hakikat amanah yang dipegang sebagai seorang hamba. Semoga ia menjadi pelaburan yang menguntungkan di akhirat kelak.
Rujukan:
1 Hari 1 Hadis
No comments: