Ads Top

Tragedi Rabi’ul Akhir – Pengusiran Bani Nadhir Yang Dirakam Dalam Surah Al-Hashr

Bani Nadhir merupakan kabilah terbesar daripada bangsa Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab, iaitu ‘Aus dan Khazraj, di Wilayah Utara Jazirah Arab, Madinah.

Di Madinah, terdapat tiga kabilah besar kaum Yahudi, iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Khazraj. Melalui Piagam Madinah, kaum Yahudi dan umat Islam telah memeterai perjanjian damai dan berjanji untuk tidak menghunus senjata antara satu sama lain.

Walaupun mereka telah memeterai perjanjian damai, namun disebabkan oleh sikap pengkhianatan kaum Yahudi yang masih mekar dalam diri mereka, maka terjadilah pengkhianatan terhadap umat Islam.

Ia bermula dengan rancangan jahat pemimpin mereka yang cuba membunuh Muhammad SAW ketika Baginda menziarahi mereka untuk meminta wang pampasan (diyah) di atas kematian dua orang dari kalangan mereka yang terbunuh.

Melalui perjanjian yang telah ditandatangani, jika berlaku pembunuhan, mereka perlu membayar wang pampasan kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, mereka mula mempunyai perancangan jahat terhadap Baginda SAW, iaitu untuk membunuh Baginda dengan menjatuhkan batu besar ke atasnya.

Pakatan jahat ini telah diketuai oleh Huyai bin Akhtab, salah seorang pembesar kepada Bani Nadhir dan disambut oleh ‘Amru bin Jahsy yang sanggup untuk melakukan pekerjaan terkutuk tersebut.

Allah Menghantar Jibril Sebagai Pembawa Khabar

Malaikat Jibril telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengkhabarkan perkara tersebut kepada Baginda SAW.

Setelah mendapat perkhabaran tersebut, Baginda terus bergegas keluar daripada perkampungan tersebut sekali gus memerintahkan para sahabat yang ikut serta untuk turut pulang.

Disebabkan kaum Bani Nadhir telah melanggar perjanjian, Baginda telah memerintahkan umat Islam untuk memerangi mereka sekali gus membatalkan perjanjian damai yang telah dimeterai.

Malah, sebelum peristiwa ini berlaku, Ka’ab ibnu Asyraf telah menghina Baginda SAW dan mereka yang beriman.

Bukan itu sahaja, Ka’ab juga dikatakan telah berkomplot dengan pembesar Mekah Quraisy untuk memusuhi Baginda dan umat Islam.

Disebabkan terlalu banyak pengkhianatan yang telah dilakukan oleh kaum Bani Nadhir terhadap umat Islam dan melanggar perjanjian yang ada, Rasulullah SAW telah mengambil keputusan untuk menghalau mereka daripada Madinah sekali gus menggugurkan perjanjian yang telah ditandatangani.

Mereka telah diberi masa selama tiga hari untuk mengosongkan rumah dan keluar daripada kota Madinah. Ada sebahagian riwayat mengatakan bahawa tempoh masa yang diberikan ialah selama 10 hari.

Walau bagaimanapun, kaum munafik ini telah menolak arahan yang diberikan oleh Baginda SAW dan nekad untuk kekal menetap di kawasan mereka.

Bani Nadhir ketika itu yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Sahlul telah membuat keputusan sebulat-bulatnya untuk melawan pihak muslimin dan terus bertahan di tanah mereka.

Disebabkan itu, Baginda dan para sahabat telah mengepung kaum Bani Nadhir bagi menunjukkan ugutan terhadap mereka.

Melalui beberapa riwayat, ada yang mengatakan bahawa proses pengepungan ini berlaku selama 26 hari. Namun, menurut beberapa riwayat lain juga ada yang menyebut bahawa ia berlaku hanya dalam semalaman sebelum mereka membuat keputusan untuk menyerah diri.

Ketegasan mereka untuk tidak berganjak akhirnya dimusnahkan dengan perasaan takut yang telah dilemparkan oleh Allah ke dalam hati-hati mereka akibat semangat yang ditunjukkan oleh kaum Muslimin ketika itu.

Mereka menyerah diri dan memohon kepada Rasulullah SAW agar pengusiran tersebut tidak berlaku dengan pertumpahan darah.

Rasulullah bersetuju dan menetapkan syarat bahawa mereka perlu keluar dari tanah Madinah tersebut dengan hanya membawa harta dan unta tanpa membawa senjata.

Kaum Bani Nadhir mengikut setiap daripada syarat tersebut dan mereka turut memusnahkan rumah-rumah serta tanaman mereka dengan alasan agar kaum muslimin tidak boleh memanfaatkannya.

Ada sebahagian daripada mereka yang menuju ke daerah Khaibar dan ada juga yang menuju ke Syam. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah melalui surah Al-Hasyr.

هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِن دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ ۚ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُوا ۖ وَظَنُّوا أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ اللَّـهِ فَأَتَاهُمُ اللَّـهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا ۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ ۚ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ

Mafhum: “Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab – dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab Allah). Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka, insaflah dan ambillah pengajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” (Surah Al-Hashr, 59:2)

Peristiwa ini dikatakan telah berlaku pada tahun keempat Hijrah dalam bulan Rabiul Akhir, iaitu selepas Perang Uhud dan sebelum Perang Ahzab.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Tafsir Surah Al-Hashr




No comments:

Powered by Blogger.