Ads Top

Kayda Tampil Dengan Single ‘Macam-Macam’, Rap Dalam 3 Bahasa

Penyanyi rap, Kayda atau nama sebenarnya, Wan Nur Khaleeda Aziz kini tampil dengan single terbaharu yang mana menampilkannya menyanyi rap dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.

Bermula secara suka-suka seawal usia 13 tahun, Kayda menggemari penyanyi hip hop antarabangsa seperti Missy Elliott, Ak’Sent dan TLC. Memilih kerjaya sebagai penyanyi rap di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau telah pun mengorak langkah secara profesional pada usia 21 tahun.

“Sejak kecil lagi saya telah didedahkan dengan pelbagai genre muzik, dan genre R&B serta hip hop menjadi pilihan kerana ia membuatkan saya berasa seronok mendengarnya.

“Macam-macam’ merupakan luahan saya secara peribadi yang saya terjemahkan dalam bentuk lagu dan membawa maksud kematangan saya sebagai seorang wanita. Saya juga ingin mengajak para wanita di luar sana agar lebih berani dan kuat dalam menghadapi pelbagai jua rintangan.

“Selain membawa mesej memperkasakan wanita, ia juga membawa mesej kepada kaum Hawa jangan mudah cair dengan kata-kata manis sang Adam dan mampu berdikari dalam membuat sebarang keputusan hidup. Sebagai wanita, kita juga mempunyai kelemahan diri tetapi jangan biarkan ia menjadi penghalang dalam mengejar cita-cita.

“Saya berharap penggemar lagu hip hop di luar sana akan terhibur dengan buah tangan terbaharu daripada saya ini,” ujar anak kepada penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid ini.

Lagu Macam-Macam kini sudah boleh didapati menerusi semua aplikasi penstriman muzik termasuk iTunes, Spotify, Deezer, Joox dan Apple Music selain muzik videonya boleh dilayari menerusi Youtube rasmi Kayda. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.