Ads Top

Baiki Tali Hubungan Anda Dengan Menstabilkannya

Pernah atau tidak anda merasa penat dengan hubungan yang sedang anda lalui sekarang? Sama ada disebabkan oleh selalu bergaduh, sentiasa mengalah dengan pasangan anda atau mungkin juga terlalu banyak makan hati.

Hubungan yang dibina bukan sahaja sesama berlainan jantina, malah mungkin juga dengan sahabat karib sendiri atau juga dengan manusia sekeliling.

Jika ia dibina atas dasar menghubungkan silaturahim sesama manusia sekali pun, namun jika terdapat pelbagai masalah sehingga boleh mengganggu emosi dan fungsi hidup anda, adalah lebih baik untuk keluar daripada hubungan tersebut.

Keluar di sini bukanlah bermaksud anda perlu seratus peratus memutuskan tali cinta anda terhadap sesebuah hubungan yang telah dibina kerana istilah yang tepat ialah letakkan sedikit jurang antara kalian untuk menjadikan hidup anda ke arah yang lebih stabil.

Betulkah Hubungan Itu Toksik

Betul atau tidak sesebuah hubungan yang sedang dialami sekarang merupakan sebuah toksik yang perlu disingkirkan, hanya anda yang tahu.

Jadi, untuk entri kali ini, penulis ingin mengongsikan beberapa tips dan cara yang boleh dilakukan sebagai tindakan untuk menstabilkan hubungan anda.

#1 – Elak Memberi Kata Laluan

Pasti anda sering dengar, antara masalah yang sering terjadi dalam hubungan sesama pasangan ialah kurangnya kepercayaan yang akan mengakibatkan kepada memberi kata laluan secara sewenang-wenangnya.

Hal ini paling banyak berlaku ke atas media sosial seperti memberi kata laluan Instagram, Twitter dan Facebook.

Malah, ada juga yang sanggup memberi kata laluan atau kunci rumah kepada pasangan masing-masing.

Jika anda sudah terjebak ke dalam permasalahan ini, sebaiknya tukar kata laluan yang telah diberikan. Ia sekali gus untuk mengajar pasangan masing-masing agar lebih mempercayai antara satu sama lain tanpa bergantung kepada memecah hak peribadi seseorang.

Jika berlaku pergaduhan atau perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya akaun anda akan selamat daripada dijaja dan difitnah.

#2 – Bataskan Waktu Yang Diluangkan

Jika setiap hari kalian meluangkan masa bersama dan anda merasakan bahawa selalu terjadi pergaduhan atau persengketaan, maka adalah lebih baik untuk beri ruang sejenak kepada diri sendiri dan juga pasangan.

Setiap pergaduhan pastinya akan menyebabkan emosi dan mental seseorang terganggu. Oleh itu, beri ruang untuk berehat sejenak dan bataskan waktu yang diluangkan.

Ia bukan sahaja untuk memberi keseimbangan kepada emosi anda, malah untuk mengajar setiap pasangan agar lebih menghargai antara satu sama lain.

Kadang-kadang, apabila jarang berjumpa, manusia akan lebih menghargai detik-detik bersama bukan sahaja antara pasangan kekasih malah juga sahabat.

#3 – Berterus-Terang Mengenai Perasaan Anda

Komunikasi ialah kunci kepada segalanya. Jika anda memendam rasa, meluahkan di media sosial dengan harapan ia sampai kepada orang yang dituju, percayalah ia bukanlah tindakan yang betul. Silap hari bulan, ia akan membuat hubungan anda lagi memburuk.

Ambil masa dan ruang sejenak untuk duduk berbincang mengenai perasaan masing-masing. Perlu diingat, sesebuah hubungan bukanlah mengenai diri anda semata-mata, namun ia mengenai diri anda dan pasangan juga.

Oleh itu, ambil kira perasaan dan luahan hati masing-masing. Cari penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku.

Kesimpulan

Hubungan toksik itu berlaku apabila masing-masing merasakan bahawa pasangan yang ada itu perlu sentiasa mengikut corak dan langkah yang ditunjukkan sedangkan wujudnya sesebuah perhubungan adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, penting untuk berfikir secara rasional jika berada dalam situasi dan perhubungan ini agar ia tidak mempengaruhi kehidupan dan emosi anda.




No comments:

Powered by Blogger.