Ads Top

Fazley Tak Terkesan Netizen Kritik Masakan Di Restorannya Tidak Sedap

Penyanyi dan chef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob mengakui dia tidak pernah merasai terkesan dengan troll yang dibuat segelintir netizen terhadap restoran kepunyaannya, Suka Sucre Bistro.

Warganet ‘mempermainkan’ kualiti masakan yang disediakan di restorannya miliknya dan membanding-bandingkannya dengan juadah gerai tepi jalan.

Menjawab perkara itu, Fazley berkata, “Saya tidak berkecil hati dengan komen netizen malah saya rasa seronok dan tertawa setiap kali membaca komen-komen yang ditulis di media sosial mengenai masakan dan restoran saya.”

“Saya menerima kritkan secara terbuka sebab kita dalam bidang perkhidmatan. Apabila orang mengutuk bermakna orang ambil peduli dan saya terima seadanya. Biasalah sebab kita dalam dunia masakan. Kalau 10 orang kata sedap kemudian ada dua yang kata tidak sedap, tidak bermakna yang dua orang itu tidak betul. Mungkin tidak sedap pada lidah mereka, setiap citarasa orang kan lain-lain,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Fazley ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta BOH Tea yang berlangsung di Suka Sucre, Kuala Lumpur, semalam.

Video Fazley memuji kesungguhan dan kesedapan masakan dan juadah yang disediakan pengusaha gerai menjadi tular baru-baru ini sehinggakan ada di kalangan peniaga mahu membayar Fazley bagi mempromosikan perniagaan mereka di laman sosialnya.

“Sejak video saya singgah dan memuji masakan di gerai, ramai pengusaha mula hubungi saya menerusi media sosial minta saya untuk tolong rasa dan promosi malah ada yang sanggup nak bayar saya.

“Tapi saya terus-terang cakap dengan mereka yang saya tidak mahu ambil duit, saya memang tolong dengan ikhlas. Mana yang sedap memang saya ikhlas bagi review agar dapat sama-sama membantu. Bagi saya tidak kisah kalau masakan itu dihasilkan di hotel, restoran mahupun gerai tepi jalan, yang paling penting sekali adalah rasa dan kesedapan makanan itu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta teh popular BOH Tea, Fazley menyatakan keterujaannya apabila dapat mewakili jenama tersebut.

“Bayangkan jenama yang sudah 90 tahun usianya memilih saya sebagai duta mereka, sudah pasti saya gembira sebab saya sendiri membesar dengan BOH.

“Saya diberi peluang untuk mencipta resepi berasaskan teh dan tanggungjawab memberikan kepercayaan kepada orang ramai bahawa jenama tempatan juga setanding dengan produk antarabangsa,” katanya lagi.

Pada majlis itu juga, Fazley telah mempersembahkan tiga resipi demo masakan berasaskan dua produk baharu BOH, Sireh Purut dan Herba Ratus iaitu Ile Flottante, Herba Ratus Pasta Seafood dengan Sireh Purut Berkrim dan Kek Cawan Teh Tarik. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.