Ads Top

Doa Buat Diri Sendiri Ketika Sakit

Musim jerebu telah berlalu. Tiba pula musim panas dan hujan. Begitulah cuaca yang silih berganti di Malaysia. Apa pun musim yang ada, hari-hari kita masih berjalan seperti biasa.

Cuma penting untuk kita kekal prihatin dengan kesihatan diri dan juga ahli keluarga. Selalunya apabila demam dan selesema menyerang badan, yang akan terlebih dahulu kita cari adalah ubat paracetamol seperti panadol yang mudah didapati di mana-mana kedai.

Namun, jika demam semakin teruk, sebaiknya kita berjumpa doktor untuk mendapat rawatan lanjut, bimbang ia bukan demam biasa.

Selain daripada itu, terdapat juga doa yang boleh anda baca kepada diri sendiri. Doa ini pernah diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW kepada Usman bin Abu Al ‘Ash Ats Tsaqafi yang ditimpa sakit yang lama.

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Daripada Usman bin Abu Al ‘Ash Ats Tsaqafi bahawa dia mengadukan kepada Rasulullah SAW suatu penyakit yang dideritanya sejak ia masuk Islam. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Letakkan tanganmu di tubuhmu yang terasa sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali, sesudah itu baca tujuh kali:

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
(‘Audzubillahi wa qudrotihi min syarri ma ajidu wa uhaziru)

(Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari penyakit yang aku derita dan aku cemaskan). (HR Muslim, no. 4082, Status Hadis Sahih)

Doa ini boleh dibacakan kepada mana-mana bahagian badan yang sakit, dan yakinlah bahawa setiap apa yang kita usahakan hanyalah iktiar dan penyebab kepada kesembuhan yang diberikan oleh Allah.

Cara-cara:

1. Letakkan tangan pada bahagian badan yang sakit.
2. Baca Bismillah 3 kali
3. Baca doa di bawah 7 kali

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.” (Surah Asy Syu’ara 26:80]




No comments:

Powered by Blogger.