Ads Top

Afgan Pukau 2,000 Peminat Dalam Konsert Insprasi 2019

Masih kekal menghiburkan! Itu ungkapan yang tepat bagi menggambarkan persembahan penyanyi Indonesia, Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza ketika menjayakan Konsert Inspirasi 2019 anjuran Popcorn Studios yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penonton mula berpusu masuk ke lokasi konsert pada jam 7 malam dan tepat jam 8.30 malam pengacara, Fiza Frizzy menghangatkan suasana dengan berinteraksi penuh spontan bersama penonton.

Tepat jam 8.50 malam, kumpulan Arjuna muncul sebagai artis pembukaan dengan mempersembahkan seleksi lagu Kenangan Terindah, Mungkin Nanti, Kekasih Gelapku, Peri Cintaku dan Hapus Aku yang turut di’sing along’ penonton yang cukup sporting pada malam itu.

Bintang yang paling ditunggu-tunggu kemudiannya muncul mengambil alih pentas tepat jam 9.38 malam dengan lagu ‘pemanas’ suasana, Cinta Jalan Terus. Aksi lincah dan bersahaja Afgan mengikut alunan lagu turut mencuit hati penonton yang cukup teruja dengan seleksi lagu yang dipersembahkan Afgan seperti Katakan Tidak, Pesan Cinta, Kunci Hati dan Sadis.

Afgan kemudiannya meneruskan atmosfera konsert dengan lagu medley Sabar, Setia Menunggu, Ku Dengan Dia Kau Dengannya serta You Knocked Me Out. Ketika mengalunkan lagu You Knocked Me Out, Afgan sempat turun dari pentas menuju ke arah seorang penonton wanita untuk ‘berduet’ dengannya sehingga ke penghujung lagu.

Memasuki segmen seterusnya, Afgan mengundang idolanya, Datuk Sheila Majid untuk menghiburkan peminat dengan lagu popular beliau yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia dan Indonesia iaitu Antara Anyir Dan Jakarta serta Sinaran. Penonton cukup sporting dan menghiburkan apabila bangun daripada kerusi masing-masing untuk sama-sama berdansa mengikut alunan muzik yang catchy.

Sebelum berundur, Sheila berduet dengan Afgan menerusi lagu Bawalah Cintaku dengan penuh merdu dan romantis. Persembahan kemudiannya diteruskan semula oleh Afgan dengan lagu-lagu hitsnya yang lain seperti Kamu Yang Ku Tunggu, Cinta Dua Hati, Heaven, Panah Asmara, Bukan Cinta Biasa dan penutup lagu, Terima Kasih Cinta yang wajib dipersembahkan oleh jejaka kelahiran kota Jakarta ini.

Walaupun sudah beberapa kali mengadakan persembahan di Malaysia yang diibaratkan seperti rumah keduanya, namun aura penghibur Afgan masih lagi berbisa dan terus digilai peminat setianya! – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Afgan

The post Afgan Pukau 2,000 Peminat Dalam Konsert Insprasi 2019 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.