Ads Top

Hukum Mendoakan Kesejahteraan Bukan Muslim

Dalam Islam, kita diajar untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan sesama Islam. Malah, Rasulullah banyak mengajarkan kita semua doa dan juga jawapan terhadap doa yang diucapkan seperti doa ketika bersin dan balasannya, doa terhadap orang sakit dan jawapannya serta doa menyambut hari raya.

Banyak lagi doa yang telah dianjurkan oleh Islam dan telah menjadi sunnah serta ikutan para sahabat malah digunakan sehingga ke hari ini.

Doa-doa ringkas ini sangat popular dalam kalangan kita. Namun, timbul persoalan yang mengatakan betulkah baginda tidak pernah mendoakan untuk bukan Muslim?

Ramai yang mempertikaikan pernyataan di atas sehingga Mufti Wilayah Perak juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya mendoakan kesejahteraan terhadap bukan muslim.

Lalu, timbul beberapa persoalan bagaimana orang bukan Islam akan dapat menerima Islam dengan baik jika umat Islam tidak menunjukkan contoh atau mendoakan kebaikan terhadap mereka?

Pasti kita pernah mendengar perumpamaan bahawa manusia belajar daripada teladan? Jika ditunjukkan contoh teladan yang baik, maka mereka akan cuba mengikut, begitu juga jika pemerhatiannya terhadap perkara yang buruk.

Anak-anak juga diibaratkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapa yang akan bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Melalui corakan tersebut, perangai anak-anak akan dibentuk. Hal ini kerana, mereka menilai berdasarkan apa yang dilihat.

Begitu juga dengan situasi orang bukan Islam. Mereka akan menilai berdasarkan perlakuan dan perangai orang Islam sendiri. Disebabkan itu, umat Islam sentiasa perlu beringat dengan menjadi sebaik-baik teladan buat semua orang.

Jika dilihat dari sudut logik, itulah yang dapat kita simpulkan. Bagaimana orang bukan Islam akan dapat menerima Islam dengan baik sedangkan dengan mengucapkan doa pun, kita dianggap sebagai berkira.

Walau bagaimanapun, Rasulullah sebenarnya tidak pernah berkira untuk mengucapkan kesejahteraan terhadap golongan bukan Islam. Bahkan, ada disebut melalui sirah bahawa Baginda SAW sentiasa mendoakan bapa saudara kesayangannya agar dapat menerima Islam dengan baik sepanjang hayatnya.

Dalam kisah lain pula, baginda pernah berbuat baik dan mendoakan seorang perempuan Yahudi yang buta dan sentiasa menyebarkan keburukan mengenai Rasulullah SAW dengan doa agar perempuan tersebut mendapat hidayah suatu hari nanti.

Malah, banyak lagi kisah lain yang diceritakan mengenai kebaikan dan doa yang pernah baginda ujarkan buat golongan bukan Islam. Kita dapat simpulkan bahawa baginda sentiasa mendoakan kesejahteraan sama ada Islam mahupun bukan Islam. Dapat disimpulkan bahawa baginda tidak memilih terhadap siapa kebaikan boleh dibuat.

Bak kata pepatah, apabila orang melemparkan batu pada pokok, pokok akan menggugurkan buah-buahnya. Begitu juga dengan balasan yang kita lemparkan. Walau sejahat mana perangai yang kita dapat, tapi balaslah dengan sebaik-baik kebaikan. Siapa tahu, dengan sedikit kebaikan yang ditonjolkan akan dapat membuka sedikit hati yang tertutup. Itulah sunnah.

Bagaimana Situasi Untuk Mendoakan Bukan Islam

Berbalik kepada persoalan apakah hukum mendoakan bukan Islam, kita sepatutnya melihat ia dalam beberapa situasi yang terjadi. Sama ada golongan itu adalah golongan yang memerangi Islam atau tidak dan apakah doa yang sesuai untuk diujarkan.

Para ulama’ telah menggariskan beberapa panduan berdasarkan dalil al-Quran dan juga hadis yang telah diriwayatkan oleh beberapa perawi, iaitu:

#1 – Mendoakan Agar Mendapat Hidayah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَدِمَ الطُّفَيْلُ وَأَصْحَابُهُ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ دَوْسًا قَدْ كَفَرَتْ وَأَبَتْ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهَا! فَقِيلَ: هَلَكَتْ دَوْسٌ! فَقَالَ: اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَائْتِ بِهِمْ

Maksud: “Dari Abu Hurairah RA berkata: (Suaru hari) At-Thufail dan para sahabat datang, mereka berkata: “Ya Rasulullah, Kabilah Daus benar-benar telah kufur dan menolak (dakwah Islam), maka doakanlah keburukan untuk mereka.” Ada yang mengatakan; “Mampuslah kabilah Daus”. Lalu beliau berkata: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kabilah Daus, dan datangkanlah mereka (kepadaku).” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut hadis yang diriwayatkan di atas, para ulama’ mengharuskan bagi golongan Muslim untuk mendoakan agar bukan Islam mendapat hidayah dan dibukakan pintu hati untuk menerima Islam dengan baik.

#2 – Mendoakan Kebaikan Dalam Perkara Dunia

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksud: “Semoga Allah memberi kalian hidayah dan memperbaiki keadaan kalian.”

Melalui riwayat lain, ada juga diceritakan bagaimana Rasulullah SAW menjawab salam yang diujarkan oleh kaum yahudi kepadanya:

إِذَا سَلَّمَ عَلَيْكُمْ أَهْلُ الكِتَابِ فَقُولُوا: وَعَلَيْكُمْ

Maksud: “Jika seorang ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) mengucapkan salam kepada kalian, maka jawablah dengan ucapan: “Wa’alaikum”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ucapan dan doa yang dikhususkan dalam Islam adalah sangat istimewa dan keistimewaannya hanya diberikan untuk orang Islam sahaja. Para ulama’ berpendapat bahawa, jawapan kepada doa-doa ini adalah sedikit berbeza kerana mereka tidak mendapat keistimewaan tersebut.

Sebagai contoh, kita boleh menjawab salam mereka dengan ucapan ‘ke atas kamu’ apabila mereka memberi salam ‘salam sejahtera untuk kamu’. Hal ini membawa maksud bahawa, jika niat yang dituturkan oleh bukan Islam itu adalah tidak baik, maka ia akan berbalik kepada mereka semula dan jika niatnya baik, maka sama juga situasinya.

#3 – Mendoakan kesejahteraan Ketika Masih Hidup

وَقَدْ قَالَ كَثِيرٌ مِنَ الْعُلَمَاءِ: لَا بَأْسَ أَنْ يَدْعُوَ الرَّجُلُ لِأَبَوَيْهِ الْكَافِرَيْنِ وَيَسْتَغْفِرَ لَهُمَا مَا دَامَا حَيَّيْنِ. فَأَمَّا مَنْ مَاتَ فَقَدِ انْقَطَعَ عَنْهُ الرَّجَاءُ فَلَا يُدْعَى لَهُ. قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: كَانُوا يَسْتَغْفِرُونَ لِمَوْتَاهُمْ فَنَزَلَتْ فَأَمْسَكُوا عَنِ الِاسْتِغْفَارِ وَلَمْ يَنْهَهُمْ أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْأَحْيَاءِ حَتَّى يَمُوتُوا

Maksud: “Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seorang Muslim mendoakan kedua orang tuanya yang kafir dan meminta ampun bagi keduanya selama mereka masih hidup. Bagi mereka yang telah meninggal, sudah terputus harapan (untuk diampuni dosanya). Ibnu Abbas mengatakan: “Dahulu, orang-orang meminta ampun bagi mereka (kafir) yang telah meninggal, lalu turunlah ayat, maka mereka berhenti dari meminta ampun bagi orang-orang yang masih hidup sehingga mereka meninggal.” (Tafsir Qurtubi 10/400)

Menurut tafsir ini, kita dapat simpulkan bahawa, tidak salah untuk mendoakan kesejahteraan dan keampunan terhadap mereka ketika mereka masih hidup. Namun, jika seseorang itu sudah meninggal, maka tiada apa yang dapat dibuat lagi kerana amalannya sudah terputus.

#4 – Bukan Yang Memerangi Islam

ولكن لا بد أن يلاحظ الداعي أن لا يكون الكافر عدواً للمسلمين

Maksud: “Akan tetapi, orang yang mendoakan kebaikan harus memerhatikan bahawa orang kafir tersebut bukanlah musuh (perang) bagi kaum Muslimin.” (Ta’liq Kitab Adab Mufrod, 1/430)

Melalui tafsir ini, para ulama’ berpendapat tidak salah mendoakan golongan bukan Islam yang tinggal dengan kita dan tidak memerangi kita. Dalam erti kata lain, seperti kafir zimmi.

Walau bagaimanapun, jika mereka adalah golongan yang membenci dan memerangi Islam, seperti rakyat Palestin yang telah diserang oleh Israel, maka tidak wajar untuk mendoakan kesejahteraan mereka. Sebahagian jumhur ulama’ mengatakan bahawa, haram hukumnya mendoakan kebaikan mereka. Kita sewajarnya mendoakan kesejahteraan saudara seislam kita yang sedang diperangi.

Dalam hal ini juga, adalah tidak salah untuk mendoakan keburukan kepada kaum kafir tersebut seperti meminta agar Allah menurunkan bala kepada mereka di atas perbuatan buruk mereka yang telah melancarkan peperangan.

Kesimpulan

Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik berdasarkan situasi yang dialami. Kita tidak boleh cepat menilai dan menghukum sesebuah pihak tanpa menitikberatkan situasi mereka.

Dalam erti kata lain, berdoalah agar golongan bukan Islam dapat menerima Islam dengan baik, atau setidaknya agar mereka tidak membenci dan memerangi Islam. Walau bagaimanapun, jika seseorang bukan Islam itu telah meninggal, maka urusannya itu adalah dengan Allah sahaja. Sekurang-kurangnya kita telah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai muslim dengan baik.

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَن يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah, 9:113)

Rujukan: Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.