Ads Top

Hati Bella Astillah Tertutup Untuk Mana-Mana Lelaki

Penyanyi Bella Astillah memberitahu pintu hatinya buat masa ini tertutup untuk mana-mana lelaki kerana fokus utamanya kini lebih kepada keluarga dan anak tunggalnya, Mohamad Ayden Adrean.

Bella dan bekas suami, Aliff Aziz disahkan bercerai talak satu pada 16 Mei lalu setelah hampir tiga tahun berumah tangga.

“Buat masa sekarang hati saya betul-betul tertutup (untuk mana-mana lelaki).

“Sekarang fokus saya adalah kepada kedua ibu bapa dan anak saya, Ayden. Tahun hadapan saya bercadang membawa kedua ibu bapa menunaikan umrah.

“Selain memberi tumpuan pada keluarga, saya juga mahu fokus pada kerjaya yang makin berkembang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single lagu Starlela di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya tidakkah dia rimas dengan tingkah laku bekas suami yang sentiasa ‘mengganggunya’ di media sosial, Bella menyatakan dia tidak pernah merasakan begitu.

“Saya tak rasa rimas bila Aliff sering kali tengok dan komen bila saya buat Live di Instagram.

“Kalau dia masuk dan tinggalkan komen, saya tak boleh ‘ignored’ dia. Aliff pernah beritahu saya dia dalam kemurungan dan kalau kita kecam dia ketika dia ‘depress’ mungkin dia akan jadi lebih teruk.

“Kita kena menyokongnya biar apa pun kesalahan atau kejahatan yang mungkin dia pernah buat dulu.

“Kami masih lagi saling mengikuti Instagram satu sama lain dan berhubung baik demi anak kami. Kalau Ayden tanya mana ayah dia, Bella akan cepat-cepat buat panggilan video dengan Aliff.

“Bella memang tak cerita lagi pada Ayden tentang hubungan kami sebab dia masih kecil. Tunggu dia besar sedikit nanti baharu saya akan jelaskan situasi kami kepadanya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, di majlis pelancaran single itu tadi, Bella berkolaborasi dengan Ifa Raziah dan Zizi Kirana menyanyikan lagu tema Festival Beli Belah Star Vendors.

Selepas kejayaan Star Vendors di PWTC, Mei lalu, kali ini festival beli-belah itu akan berkunjung ke Sabah pada 3 dan 4 Ogos ini. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.