Buatlah Kebaikan Kepada Orang Meski Mereka Tidak Dapat Membalas Semula
Saya pernah melihat beberapa perkongsian yang telah diluahkan di ruangan story Instagram seorang golongan pempengaruh berkenaan realiti kehidupan masa kini. Saya tertarik dengan sebuah jawapan yang dinyatakan, iaitu; ‘Orang cuma akan berteman dengan kita jika kita punya wang.’
Ia membuatkan saya terfikir, adakah kita hidup pada zaman duit dan harta boleh mengaburi kebaikan dan budi yang telah ditabur? Jika kita bukan dari golongan berduit, adakah kita tidak akan mempunyai ramai kawan atau kenalan?
Apabila saya menyuarakan pandangan ini kepada beberapa orang rakan, ramai di kalangan mereka yang mengatakan bahawa ia adalah fakta yang tidak dapat disangkal lagi. Malah, mereka turut memberikan contoh yang relevan pada masa kini, iaitu perbezaan di antara golongan kaya dan juga miskin yang hidup di Malaysia. Tidak perlu mencari contoh yang jauh, cukuplah yang ada di depan mata.
Apabila dilihat mereka yang tidak bernasib baik dan hidup di jalanan, pasti kita akan memandang serong terhadap mereka seolah-olah hidup mereka sudah pasti akan ke neraka. Namun, apa pandangan kita jika melihat mereka yang kaya-raya dan banyak duit tetapi masih lalai dalam agama? Hari-hari mereka menunjukkan dosa mereka dengan jelas dan terang di laman sosial, namun disebabkan kekayaan dan harta, mata kita dikaburi. Malah, golongan inilah yang lebih ramai pengikutnya berbanding pendakwah atau ustaz.
Lalu, ada yang berkongsi kisah tersendiri berkenaan bagaimana layanan buruk dan baik yang pernah diberikan sewaktu tidak berduit. Jika punya wang atau sesuatu yang boleh dijadikan manfaat tersendiri, pasti ramai kawan yang akan datang menempel dan meminta belas kasihan. Namun, tatkala diri sendiri tidak berduit dan tiada kemudahan, diri sendiri yang nampak seperti ingin mengemis hutang sedangkan ia adalah haknya sendiri.
Kejadian-kejadian seperti ini membuatkan ramai dalam kalangan mereka yang berhati baik ini susah untuk terus membuat kebaikan. Bak kata orang tua-tua, takut kepala dipijak-pijak lagi. Walhal, berbuat baik itu merupakan sunnah dan suatu amalan yang dituntut dalam Islam.
ÙˆَبِالْÙˆَالِدَÙŠْÙ†ِ Ø¥ِØْسَانًا ÙˆَذِÙŠ الْÙ‚ُرْبَÙ‰ٰ ÙˆَالْÙŠَتَامَÙ‰ٰ ÙˆَالْÙ…َسَاكِينِ ÙˆَÙ‚ُولُوا Ù„ِلنَّاسِ ØُسْÙ†ًا ÙˆَØ£َÙ‚ِيمُوا الصَّÙ„َاةَ Ùˆَآتُوا الزَّÙƒَاةَ
“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat.” (Surah Al-Baqara, 2:83)
Menurut pandangan agamawan, berbuat baik ini merupakan suatu yang unik walaupun diri kita tidak dihargai atau kekal dipandang buruk di mata orang lain. Bahkan, kia dapat lihat sejak dari zaman Nabi Adam A.S lagi telah wujud kebaikan yang dilakukan untuk menjadi contoh teladan kepada semua. Jika kita merasakan diri kita tidak dihargai dengan kebaikan yang dilakukan, cuba periksa semula niat yang diletakkan.
‘Adakah aku berbuat baik untuk mendapatkan pandangan manusia?’
‘Adakah aku berbuat baik untuk mempunyai ramai kawan?’
Atau pelbagai lagi alasan yang mungkin akan menerawang di minda kalian. Mengapa kita berbuat baik? Tidak salah jika sesuatu kebaikan itu dibuat untuk mendapatkan pahala dan ganjaran dari Allah sebagai saham di akhirat kelak, namun yang salahnya apabila niat itu terpesong dari landasan sebenar.
Contohi Sunnah Dalam Kebaikan
Dalam Islam, kebaikan dianjurkan supaya kehidupan kita sentiasa harmoni dan bebas daripada gejala serta kebencian yang tidak diingini. Kita dapat lihat, walaupun Rasulullah selalu dihina dan dicemuh oleh bangsa sendiri, namun baginda tetap melemparkan senyuman dan membalas dengan kebaikan yang tidak terfikir dek akal manusia.
Rata-rata kita pasti akan berdendam jika ditimpa masalah atau keburukan oleh sekeliling. Paling tidak, kita akan menyimpannya di dalam hati dan menyimpan hasrat untuk tidak akan memberi layanan yang baik lagi terhadap seseorang. Hal ini berbeza dengan Rasulullah SAW yang sentiasa husnudzon (bersangka baik) dan menganggap ia adalah ujian daripada tuhan buatnya.
Sebuah kisah masyhur yang pernah diceritakan di dalam sirah, bagaimana Nabi Muhammad dan Zaid bin Harithah yang cuba berdakwah kepada penduduk di Thaif. Walaupun dakwah mereka telah ditolak oleh pemimpin dan juga penduduk mereka dengan dilontarkan batu-batu sehingga mengakibatkan darah keluar daripada wajah baginda, namun Rasulullah tetap bersabar.
Bahkan, apabila didatangi Malaikat Jibril yang menawarkan untuk diminta diturunkan bala dan azab, baginda tetap menolak dan tidak akan berputus asa dalam menyampaikan dakwah.
Disebabkan oleh kebaikan dan keikhlasan baginda tersebut, ramai umat Islam pada hari ini yang telah mengamalkan sunnah baginda sehingga mengakibatkan golongan bukan Islam mula tertarik dengan Islam dan kebaikan yang ada.
Bahkan, banyak lagi kisah kebaikan yang boleh kita ambil iktibar daripada umat terdahulu yang sentiasa membuat kebaikan dan pahala tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan baik manusia, namun berharap agar diterima di sisi Allah.
Kesimpulan
Sentiasa tetapkan di hati agar kebaikan yang kita lakukan bukanlah bersandarkan manusia semata-mata, namun untuk Allah SWT agar ia dinilai di sisiNya. Seperti yang disebut dalam perumpamaan, jika dilemparkan batu terhadap pokok, yang akan jatuh adalah buahnya.
Begitu juga dengan manusia. Mungkin hari ini kita tidak nampak hikmah disebalik ujian yang ada, namun siapa tahu, mungkin di kemudian hari kita akan diberi ganjaran oleh Allah disebabkan oleh perbuatan kita sendiri baik di sini atau di akhirat sana.
Berjumpa dengan orang yang baik-baik, sentiasa didoakan kesejahteraan hidup, dipermudahkan dalam setiap urusan dan banyak lagi perkara baik yang kita lalui itu sebenarnya sedikit balasan atas perbuatan baik yang kita lakukan.
Oleh itu, jangan berkira untuk berbuat kebaikan walaupun ia dibalas dengan kaburukan, kerana yang akan menilainya ialah Allah SWT.
“Kalau kita tahu segala kebaikan yang Allah rahsiakan disebalik ujian yang kita hadapi, pasti kita akan terus bersabar. Bahkan, kita akan lebih kuat menghadapi ujian.” Alif Teega
No comments: