Ads Top

Bagaimana Membaca Boleh Menjadikan Anda Luar Biasa ?

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama TuhanMu yang menciptakan sekalian makhluk, ia menciptakan manusia dari segumpal darah. ,Bacalah, dan TuhanMu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”Surah Al-Alaq : 1-5

Ayat ini merupakan antara ayat pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril. Dapat difahami bahawa pengetahuan, pembelajaran dan ilmu boleh kita pelajari dan ketahui antaranya adalah melalui proses pembacaan.

Pembacaan adalah proses penting untuk membina masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bagi menghalang masyarakat daripada terus hidup di dalam kejahilan. Bagaimana membaca dapat menjadikan kita seseorang yang luar biasa?

#1-Meningkatkan Daya Fokus Dan Ketajaman Fikiran

Kita semestinya fokus dan memberikan tumpuan terhadap huruf dan patah perkataan yang ditulis agar dapat memahami dan mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh penulis dengan baik.

#2- Meningkatkan Pengetahuan Di Dalam Diri

Pada setiap buku yang dibaca, pastinya terdapat banyak perkara baru yang masih belum diketahui. Oleh disebabkan itu, pembacaan boleh membuatkan kita terus menerokai pelbagai perkara baru yang akhirnya akan meningkatkan pengetahuan kita.

#3- Membuka Minda Menjadi Lebih Luas

Benarkah membaca boleh menjadikan minda lebih luas? Ya, tentu sahaja. Membaca sememangnya menjadikan minda kita lebih luas kerana kita berdiri di antara minda kita dan juga minda penulis.

Minda kita akan lebih terbuka apabila melihat sesuatu keadaan dan perkara melalui sudut pandangan peribadi penulis tanpa perlu mengenepikan sudut pemikiran kita. Gabungan antara keduanya pasti menjadikan kita lebih luas pemikirannya di dalam menerima sesuatu perkara.

#4- Masa Menjadi Lebih Bermanfaat

Masa itu emas. Sekiranya masa itu tidak digunakan untuk sesuatu yang bermanfaat, maka masa akan dihabiskan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Membaca adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk menghabiskan waktu yang terluang dengan berfaedah kerana banyak perkara yang boleh di dapati hasil daripada pembacaan yang dilakukan tersebut.

#5- Menginspirasikan Kehidupan Menjadi Lebih Baik

Di dalam sesebuah buku terdapat banyak kisah yang berkaitan dengan kehidupan dan berkaitan rapat dengan segala aktiviti yang kita lakukan pada setiap hari.

Dengan membaca buku akan membuka lebih banyak sisi kehidupan yang baru di mana kita menerima banyak pemikiran dan contoh yang diketengahkan oleh orang lain sebagai sumber inspirasi di dalam menjalani kehidupan.

Hasil daripada itulah, kita boleh mengambil pelbagai inspirasi untuk diadaptasikan di dalam kehidupan dan seterusnya menjadikan kehidupan lebih baik.

#6- Menguatkan Ingatan

Setiap kali membaca, otak kita akan sentiasa terbuka dan mencipta ruangan baru dan menerima pelbagai pengetahuan di mana pada jangka masa yang panjang akhirnya ianya akan menguatkan ingatan.

Namun apakah cara-cara pembacaan yang betul? Di sini saya kongsikan 5 tips membaca dengan cara betul yang boleh diaplikasikan :

#1- Luangkan Masa Untuk Membaca Pada Setiap Hari

Setiap hari kita pasti sentiasa sibuk dengan pekerjaan dan perkara-perkara yang harus diselesaikan. Namun ianya tidak menghalang untuk melakukan pembacaan sekiranya kita telah pun memperuntukkan waktu pembacaan harian.

Contohnya kita menetapkan selama 10 minit untuk membaca setiap hari sebelum tidur. 10 minit sudah pun mencukupi untuk setiap hari walaupun sedikit namun amat bermanfaat.

#2- Mencatat Hal-Hal Yang Dibaca

Menyediakan sebuah buku untuk mencatat sesuatu daripada buku-buku yang dibaca juga merupakan salah satu perkara yang baik dan bagus untuk diamalkan.

Ini kerana dengan mencatat sesuatu yang kita suka ianya dengan sendirinya akan menarik minat untuk terus membaca dan mencari lebih banyak perkara yang baru, menarik dan mengujakan.

#3- Berada Di Dalam Posisi Selesa Dan Betul

Sediakan ruangan yang selesa di dalam sudut mana pun di rumah sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pembacaan pada setiap hari.

#4- Fokus Minda Terhadap Buku Yang Dibaca

Menerima gangguan ketika membaca boleh menyebabkan konsentrasi hilang dan kehilangan isi-isi penting di dalam buku pembacaan kita.

Gangguan yang diterima juga akan menyebabkan kita tidak dapat ataupun kurang memahami apa yang ingin disampaikan di dalam sesuatu buku.

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mengekalkan fokus ketika sedang membaca. Elakkan gangguan daripada gajet-gajet dan bunyi yang terlalu bising sehingga menjejaskan fokus.

#5- Rehat Sebentar Ketika Membaca

Aktiviti pembacaan yang terlalu lama akan menyebabkan hilang fokus dan tumpuan kerana otak akan menjadi terlalu penat.

Oleh itu, selangilah aktiviti membaca anda dengan rehat sebentar selama 10 hingga 15 minit untuk menyegarkan kembali daya fokus anda agar setiap apa yang dibaca dapat diterima dengan baik.

Sungguhpun begitu, terlalu banyak rehat dan berhenti juga adalah tidak baik kerana terlalu banyak rehat akan membuatkan kehilangan konsentrasi di dalam pembacaan sehingga menyebabkan kita tidak dapat memahami maklumat yang ingin disampaikan.

Sebagai akhirnya, dunia pembacaan sekarang sudahpun cukup meluas. di mana pelbagai genre buku sudah pun berjaya diterbitkan. Lebih-lebih lagi, kini sudah ramai penulis baru yang semakin rancak mengeluarkan pelbagai bahan bacaan yang kontemporari.

Mulakanlah pembacaan anda dengan membaca buku-buku mengikut genre yang anda minati dan sukai. Buku-buku berbentuk motivasi, travelog, kisah-kisah sejarah, pendidikan serta dakwah pun sudah memenuhi pasaran.

Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik juga ke arah usaha memperkasakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Ini kerana menyedari bahawa pentingnya untuk membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan menumpukan kaedah membaca bagi meningkatkan pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca. Buya Hamka berkata;

“Membaca buku yang baik itu bererti memberi makanan rohani yang baik. Mereka yang membaca buku yang baik akan melahirkan benih baik yang akan tumbuh serta menjadi pepohon yang indah dan memberi kebaikan kepada orang lain.

Di situlah hebatnya pembacaan yang baik apabila dimanfaatkan sepenuhnya. Semoga dengan perkongsian kali ini sedikit sebanyak kita sama-sama mendapat manfaatnya. Selamat membaca!




No comments:

Powered by Blogger.