Undercover, Punch & Gun Padat Dengan Aksi Mendebarkan
Tajuk: Undercover, Punch & Gun
Tarikh Tayangan: 28 Jun 2019
Durasi: 1 jam 30 minit
Genre: Aksi / Jenayah
Pengarah: Philip Lui Koon-Nam, Frankie Tam
Pelakon: Philip Ng, Vanness Wu, Andy On, Chi Shuai, Joyce Feng, Datuk Aaron Aziz
Klasifikasi: P13
Tidak dapat dinafikan filem aksi dari Hong Kong mempunyai peminatnya yang tersendiri memandangkan garapan pertarungan yang dipaparkan sentiasa ‘on-point’ dan menarik.
Terbaharu, pengarah Philip Lui tampil dengan filem padat aksi, Undercover, Punch & Gun yang memaparkan penyamaran seorang pegawai polis, Wu (Philip Ng) yang perlu menyiasat sindiket pengedaran syabu.
Ketika dalam penyiasatannya, kerja-kerja Wu sedikit terganggu apabila muncul dua polis lain, Eva dan Mike yang mahu membalas dendam terhadap seorang rakan sekerja mereka yang belot, Xia dengan bergelar ketua geng sindiket dadah yang baharu selepas kematian Bob, yang merupakan bos kepada Wu sepanjang penyamarannya itu.
Xia memerlukan khidmat Wu bagi mencarikannya pakar pembuat syabu dan dari situ Wu bekerjasama dengan Eva dan Mike bagi menyerang hendap Xia dan kuncu-kuncunya ketika mereka berada di atas laut lepas.
Kemunculan Datuk Aaron Aziz juga menambah rasa filem ini untuk selera peminat tempatan selain kehadiran bekas ahli kumpulan F4, Vanness Wu yang tampil dengan watak ‘bodoh-bodoh alang’ memperlihatkan sisi komedi yang dimiliki Vanness.
Aksi pertarungan juga cukup mendebarkan seiring dengan filem aksi jenayah Hong Kong yang lain, yang pastinya membuatkan penonton turut berdebar-debar menantikan penamat cerita.
Yang pastinya, watak Xia yang dimainkan Andy Oh cukup memberikan kesan sebagai seorang anggota polis yang belot hanya disebabkan oleh ketamakannya sehingga menjejaskan kerjaya dan persahabatannya.
Jadi, buat anda yang dahagakan filem aksi lebih-lebih keluaran Hong Kong, jangan lupa untuk menonton filem Undercover, Punch & Gun yang bakal ditayangkan di pawagam berhampiran anda bermula 28 Jun ini! – KopiPlanet.com
No comments: