Ads Top

Permainan Tikam Duit Raya, Boleh Ke?

Setiap kali tiba musim perayaan, seperti tidak sah jika duit raya tidak disedia. Memberi duit raya kepada ibu bapa, adik beradik dan kanak-kanak yang datang sudah menjadi budaya yang diamalkan di mana-mana. Masing-masing mula menukar wang kepada jumlah yang lebih kecil dalam kuantiti yang agak banyak contohnya jumlah RM1, RM5 dan RM10 supaya lebih mudah untuk diberikan.

Ada pula yang kreatif dan menukar gaya pemberian duit raya kepada ‘permainan tikam duit raya’. Tular beberapa video di laman media sosial pada minggu lepas menunjukkan tetamu yang datang akan mencabut nombor dan berpandukan nombor tersebut mereka akan memperoleh jumlah duit atau hadiah yang berbeza-beza.

Jika anda adalah golongan yang lahir pada era 80an dan 90an, ketika kecil dulu anda besar kemungkinan pernah bermain permainan tikam ini. Dapat sahaja duit 50 sen atau seringgit, kedai runcit berdekatan rumah pasti menjadi tempat persinggahan sebelum pulang dari sekolah.

Berbekal wang yang ada, peluang diletakkan pada ‘nasib baik’ atau ‘tuah’ untuk ‘menikam’ hadiah yang tersedia pada papan permainan tikam. Malangnya waktu itu, kita tidak mengetahui permainan itu juga sebenarnya adalah salah satu bentuk judi.

Apa Itu Judi?

Berjudi adalah satu cara memperoleh kekayaan dengan cara mudah. Seseorang meletakkan kepercayaan kepada nasib, dan hasil yang diperoleh daripada wang yang dilaburkan pula akan menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Disebutkan dalam kitab al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, jika hadiah pertandingan itu datang daripada wang peserta sama ada dalam bentuk yuran dan sebagainya, maka hal itu adalah haram kerana ia tergolong dalam perjudian nasib (qimar).

Pertama sekali, apa yang difahami penulis, permainan tikam yang dilakukan pada zaman dahulu dan permainan tikam yang diadakan dalam acara perayaan ini sedikit berbeza. Tiada elemen bayaran yang dikenakan dalam permainan tikam duit raya, tetapi ia lebih menyerupai cabutan bertuah kerana peserta akan mencabut undian untuk mendapatkan hadiah atau sampul berisi duit raya.

Hukum Cabutan Bertuah

Cabutan bertuah adalah diharuskan lagi halal disebabkan dua perkara:

1. Tiada Bayaran Yang Dikenakan Untuk Mendapatkan Hadiah Cabutan Bertuah

Imam Nawawi di dalam kitab Minhaj At-Tholibin berkata:

Maksudnya: “Memberi milik tanpa mengenakan sebarang bayaran adalah hadiah, sekiranya diberi milik kepada yang benar-benar berhajat kerana mengharapkan pahala akhirat adalah sedekah, sekiranya pemberian tersebut dibawa kepada penerima sebagai memberi kemuliaan kepadanya adalah hadiah” (Minhaj At-Tholibin, 2/293)

2. Pemilihan Dibuat Berdasarkan Undian

Pemilihan dibuat berdasarkan undian secara cabutan. Al-Syeikh Ibnu Qasim mengulas matan Al-Syeikh Abi Syujak kitab Fath al-Qarib : Kias mengikut kaedah: فصل في أحكام القسمة “يقرع بين الأنصباء” iaitu dicabut undian di kalangan orang yang mendapat habuan (yang layak turut serta dalam pengundian).

Dalam erti kata lain, setiap orang yang hadir yang layak untuk menyertai acara cabutan tersebut diberi hak dan peluang untuk turut serta menyertai.

Garis Panduan Oleh Fatwa

Hukum menyertai cabutan bertuah ialah harus dan tidak menyalahi syara’ untuk jika mematuhi syarat-syarat berikut:

1. Tidak ada mengandungi unsur judi.

2. Hadiah yang diberi atas dasar rela hati dan redha penganjur itu sendiri.

3. Tiada sebarang unsur yang boleh membawa mudharat dan penganiayaan kepada pelanggan disebabkan hadiah tersebut.

4. Tiada unsur penipuan dan agenda-agenda yang tersembunyi.

Konsep Keadilan

Daripada keterangan di atas, sedikit sebanyak kita dapat memahami bahawa konsep permainan tikam duit raya sebegini dibolehkan dan tidak menyalahi syarak.

Cuma, penulis secara peribadinya merasakan bahawa acara ini perlu dilakukan mengikut tahap umur dan golongan yang menyertai.

Jika acara ini diadakan untuk golongan dewasa, maka tidak mengapa untuk meletakkan duit raya dalam jumlah yang diingini atau ketara perbezaan jumlahnya kerana biasanya golongan dewasa yang memperolehnya akan menganggap ia sekadar acara untuk suka-suka sekalipun mendapat cabutan duit yang sangat sedikit.

Tetapi jika ia acara yang dilakukan untuk kanak-kanak, lebih baik agar wang yang disediakan dalam setiap sampul atau hadiah yang disediakan tidak terlalu ketara perbezaan nilainya. Ini bagi mengelakkan kanak-kanak berasa tidak adil, cemburu atau bersedih dengan apa yang diperoleh lebih-lebih lagi di hari raya yang perlu disambut dengan ceria dan gembira.

Kesimpulannya, apa jua cara yang digunakan dalam memberikan duit raya, niatkanlah ia sebagai sedekah dan bukan hanya mengikut budaya semata-mata.




No comments:

Powered by Blogger.