Ads Top

Hukum Asal Mencukur Bulu Kaki

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Fitrah itu ada lima, atau lima perkara yang menjadi fitrah adalah berkhatan, mencukur bulu kemaluan (ari-ari), mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Kta sering terdengar mengenai hukum mencukur bulu. Ada juga yang meletakkan hukum ada bulu yang wajib dicukur, ada sesetengah bulu yang haram dicukur dan ada juga yang sunnah.

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah telah menetapkan beberapa hukum dalam mencukur bulu yang terdapat pada anggota badan kita. Maka, para muslim seharusnya mengambil berat dan tidak boleh beramal secara semberono.

#1 – Wajib Hilangkan Bulu

Kata Imam Nawawi RA: Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya. (Kitab Tahrir Alfazh al-Tanbih, al-Nawawi)

Beberapa ulama’ dari kalangan mazhab Maliki berpendapat bahawa bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan. Maka, jelaslah berdasarkan hadis di atas bahawa terdapat dua jenis bulu yang wajib dipotong, iaitu bulu ketiak dan bulu kemaluan.

#2 – Haram Untuk Mencukur

Antara bulu yang dilarang untuk dicukur ialah memotong bulu kening. Ini adalah berdasarkan hadis yang berbunyi:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksud: Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah. (Hadis Riwayat Muslim)

Gaya hidup zaman sekarang sering memaparkan cara berhias yang keterlaluan contohnya mencukur atau ‘trim’ bulu kening untuk mendapat bentuk kening yang cantik dan runcing. Berhati-hati wahai wanita dalam berhias kerana ini adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam Islam.

#3 – Tidak Makruh Dan Tidak Sunnah Dicukur

Antara contoh bulu yang didiamkan oleh sunnah, iaitu tidak makruh mahupun sunat dicukur ialah bulu dada, bulu betis, bulu paha, bulu hidung, bulu yang terdapat di lengan, dan yang tiada arahan untuk memotongnya.

Oleh itu, tidak berdosa untuk seseorang itu menyimpan atau mencukur bulu tersebut sekiranya mahu. Ini adalah berdasarkan kata al-Imam al-Sindi, iaitu:

إِنَّ اللهَ أَمَرَكُمْ بِأَشْيَاء فَامْتَثِلُوهَا وَنَهَاكُمْ عَنْ أَشْيَاء فَاجْتَنِبُوهَا وَسَكَتَ لَكُمْ عَنْ أَشْيَاء رَحْمَةً مِنْهُ فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksud: Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu semua beberapa perkara maka lakukanlah ia, dan Dia melarang kamu semua beberapa perkara maka jauhilah ia. Dan Dia mendiamkan (tentang hukum) beberapa perkara disebabkan sifat rahmat dari-Nya maka janganlah kamu bertanyakan berkenaannya.

#4 – Sunnah Dibiarkan

Antara bulu yang sunnah dibiarkan ialah rambut. Walau bagaimanapun, untuk lelaki, rambutnya perlulah kemas dan tidak menyerabutkan untuk dibawa ketika beribadah.

Mencukur Bulu Kaki

Berdasarkan hadis di atas, para ulama’ berpendapat bahawa hukum asal mencukur bulu kaki adalah harus baik lelaki mahupun perempuan. Ini kerana, tidak terdapat larangan untuk memotongnya ataupun arahan untuk mencukurnya. Namun begitu, jika seseorang itu mencukur sehingga menyerupai perempuan, iaitu tasyabbuh, maka hukumnya adalah dilarang. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan serta golongan perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulan

Setiap amal perbuatan seseorang muslim perlu berpandukan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Kita tidak boleh membuat sesuatu secara semberono dengan melanggar hukum atau meletakkan hukum sendiri kerana Islam itu agama yang indah berpandukan hukum syariat yang telah ditetapkan.

Rumaysho.Com




No comments:

Powered by Blogger.