Ads Top

Orang Yang Dicintai Allah Hanya Kerana Mengunjungi Saudaranya

Musim raya adalah musim yang sinonim dengan amalan kunjung-mengunjung. Yang jauh pulang ke kampung manakala yang dekat pula menyambut dan meraikan dengan meriah.

Sesekali mungkin kita merasakan bahawa ia adalah satu rutin yang biasa setiap tahun – memasak, menjamu dan melayan tetamu. Apabila ada waktu terluang, kita berkunjung pula ke rumah sanak saudara dan sahabat handai yang ada.

Tidak dinafikan, kepenatan pasti terasa namun amalan kunjung-mengunjungi ini sangat digalakkan dalam Islam malah orang yang mengamalkannya mendapat perhatian istimewa oleh Allah sehingga diabadikan dalam hadis sahih di bawah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, “Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut.

Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; ‘Hendak pergi ke mana kamu?’ Orang itu menjawab; ‘Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.’

Malaikat itu terus bertanya kepadanya; ‘Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya?’ Laki-laki itu menjawab; ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.’

Akhirnya malaikat itu berkata; ‘Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’ (HR Muslim, no. 4656 – Status Hadis Sahih)

Justeru, musim perayaan perlu dilihat sebagai peluang untuk mempertautkan hubungan yang terputus dalam masa yang sama mengeratkan hubungan yang telah ada. Jika ada silap dan salah yang telah dilakukan, hari raya adalah masa yang sesuai untuk bertemu dan saling bermaafan semula.

Amalan kunjung-mengunjung ini bukan hanya terhad semasa musim perayaan sahaja malah perlu diamalkan sepanjang masa. Ia adalah tanda seseorang itu mengasihi saudaranya sehingga berusaha untuk menziarahi dengan ikhlas semata-mata untuk mengetahui keadaan dirinya.

Seperti dalam kisah yang diceritakan dalam hadis di atas, lelaki tersebut ikhlas menziarahi saudaranya tanpa mempunyai niat serta keuntungan yang diingini sehingga malaikat sendiri mengkhabarkan bahawa Allah mencintainya sebagaimana dia mencintai saudaranya.

Sungguh besar ganjaran buat mereka yang mempertautkan hubungan persaudaraan dan menjaga silaturahim sesama manusia. Ia bukan terhad kepada golongan Islam sahaja tetapi turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang lain.

Jalan kebaikan dalam Islam itu tidak terkira banyaknya – salah satunya adalah amalan menziarahi sesama kenalan dan sanak saudara. Ambil lah peluang untuk terus menghidupkan budaya mulia ini yang bertepatan dengan cara hidup Islam.




No comments:

Powered by Blogger.