Ads Top

Mari Kita Berlumba Menuju Akhirat

Berlumba merupakan salah satu sifat fitrah manusia. Contohnya berlumba bagi menunjukkan kita yang terbaik dalam satu-satu kelompok tertentu. Maka kita berlumba untuk memunjukkan kitalah paling bijak, maka no. 1 dalam kelas adalah matlamat kita. Kita berlumba untuk memiliki rumah yang besar, kereta yang mewah bahkan berkahwin dengan perempuan yang mempunyai darjat yang tinggi. Itu sifat berlumba kita. Kita tidak kurang nafsu untuk berlumba dalam hal dunia tetapi bagaimana akhirat?. Mungkin kita berkata:

“Biarlah dia rajin ke masjid, kan bagus tu..”

“Banyak dia bersedekah, nanti banyak pahala dia dapat. Kita bila dapat bonus tiga bulan dulu barulah sedekah.”

Itu mungkin ucapan kita tapi tidak bagi jiwa sahabat Rasulullah SAW. Bagi mereka setiap kebaikan yang dilakukan sahabat lain pasti akan dicemburui oleh sahabat yang lain. Bahkan mereka sanggup berlumba-lumba mempertaruhkan nyawa mereka sendiri demi Islam.

Jiwa Perlumbaan

Kelompok manusia yang terbaik adalah sahabat Rasulullah SAW. Mereka sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Bahkan sehingga mereka sangat menyesal jika sahabat lain dapat melakukan lebih banyak kebaikan berbanding diri mereka sendiri walhal mereka mempunyai keterbatasan tenaga dan harta.

Jika mereka ada kekuatan dan harta pasti mereka sentiasa berfikir untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Umar bin Khattab RA berkata:

“Rasulullah SAW menyuruh kami bersedekah. Kebetulan saat itu aku memiliki cukup banyak harta sehingga aku sempat berkata dalam hati, hari ini aku akan mengalahkan Abu Bakar RA….” (Riwayat Tirmizi)

Lihat jiwa mereka yang besar. Sentiasa ada sifat ingin bersaing melakukan kebaikan. Bahkan generasi selepas mereka iaitu tabiin mempunyai sifat yang sama dan berazam ingin bersaing dengan para sahabat nabi. Kata Abu Muslim al-Khawlani seorang tabiin yang terkenal berkata:

“Janganlah para sahabat Nabi Muhammad SAW menyangka sifat itu (berlumba-lumba dalam ibadat) hanya ada pada mereka. Kami akan mengejar mereka supaya mereka tahu mereka meningalkan dibelakang mereka anak-anak jantan!”

Semangat mereka itu berterusan mengalir pada generasi seterusnya sebagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh berazam memastikan kalam Rasulullah SAW dapat direalisasikan dan kota Kostantinopel dapat dibuka pada zamannya walaupun perlumbaan pembukaan itu telah bermula pada zaman sahabat nabi lagi.

Hidup Ini Hanya Sekali

Harta yang paling berharga yang kita miliki adalah detik-detik yang kita jalani. Hidup ini hanya sekali dan masa yang kita ada adalah pendek. Amatlah rugi bagi sesiapa yang semakin hari semakit tua tetapi dia tidak melakukan apa-apa amal kebaikan malah tidak mempunyai azam untuk menambah dan memperbaiki ibadat. Hidup seperti itu hanya menunggu mati sahaja. Walhal umur yang kita ada ini singkat nilainya. Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dalam kitab az Zuhd dengan sanadnya dari Anas bin Malik RA berkata:

“Malaikat maut pernah mendatangi Nabi Nuh AS dan berkata: “Wahai Nabi yang paling panjang umurnya!, bagaimana anda mendapati dunia dan kenikmatannya?, beliau menjawab: “Seperti seseorang yang mempunyai sebuah rumah dengan dua pintu, lalu ia berdiri di tengah rumahnya sejenak, kemudian ia keluar dari pintu yang lain”.

Terlalu singkat perumpaan bagi Nabi Nuh AS. Bagaimana kita yang masih beranggapan masa yang kita ada ini masih panjang, masih banyak. Walhal masa yang kita ada untuk berlumba melakukan kebaikan seperti percikan api sahaja kemudian hilang. Dan masa itu sahaja yang kita ada bagi mendapatkan syurga Allah SWT. Ingat Rasulullah SAW bersabda dari sanad Ibnu Abbas yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Pada lima keadaan itu pastikan kita merebut peluang sebaik mungkin. Ya mungkin benar kadang-kala jiwa kita lemah dalam beribadat tetapi carilah sahabat sebagai pemangkin semagat untuk melakukan kebaikan bersama-sama dan berazam melakukan terbaik. Sebaliknya ada kawan kita yang mengajak kita berlumba dalam hal dunia, tinggalkan kerana ia tidak sesekali mendatangkan kebaikan malah kekecewaan dan keresahan hati. Kata Hasan al-Basri

“Jika kamu melihat seseorang yang melakukan amalan akhirat, maka berlumbalah dengan dia. Tapi bilamana dia mengajak kamu dalam hal dunia, tinggalkan dia”

Kisah Ikrimah bin Abu Jahal RA

Ikrimah bin Abu Jahal sebelum beliau Islam, beliau merupakan orang yang paling kuat memusuhi Islam selama 20 tahun bahkan berusaha membunuh Nabi Muhammad SAW. Tetapi apabila Mekkah dibuka oleh Baginda dan Ikrimah memeluk Islam. Beliau telah mengungkapkan satu ucapan agung yang menjadi saksi perjuang beliau selepas detik itu iaitu:

“Ya Rasulullah! Aku bersumpah demi Allah, aku tidak akan membiarkan satu dinar pun biaya yang pernah aku gunakan untuk melawan agama Allah, melainkan akan aku ganti berlipat kali ganda demi membela agamaNya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk melawan agama Allah, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat kali ganda demi membela agama-Nya, aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir.”

Ucapan ini merupakan titik perubahan dirinya. Dari orang yang menentang Allah dan rasulNya, dia menjadi hamba yang berlumba bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah ini sehingga darahnya terakhir.

Ketika peperangan Yarmuk berkecamuk yang menyaksikan tentera Islam dikepung oleh tentera Rom. Ikrimah nekad ingin memecahkan kepungan tersebut dengan berbaiah untuk syahid. Lalu dihalang oleh Khalid bin Walid lalu beliau berkata:

“ketepi wahai Khalid bin Walid, biarkan aku menebus kembali apa yang telah aku dan ayahku lakukan. Dulu aku memusuhi Rasulullah SAW. Apakah sekarang aku akan lari dari pasukan Rom? Demi Allah tidak, selamanya tidak terjadi!”

Akhirnya beliau melaksanakan janjinya dihadapan Rasulullah SAW dan beliau ibarat seorang mukmin yang terabadi dalam firman Allah SWT:

“… Orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, kesakitan, dan seketika peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 177)

Berlumba Mendapatkan Keampunan Dan Syurga Allah SWT

Kehidupan kita tidak pernah lari dari kesalahan dan dosa tetapi tidak sesekali Allah SWT menutup rahmatNya kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya. Sesungguhnya nilai seseorang insan di mata Tuhan adalah keikhlasan dan kesungguhannya untuk memperolehi rahmat Allah SWT. Kerana syurga itu sangatlah mahal jika dibandingkan amal ibadat yang kita lakukan tetapi dengan kesungguhan yang kita lakukan menjadikan Allah SWT mengurniakan rahmatNya kepada kita. Benarlah firmanNya dalam Surah Al-Hadid ayat 21:

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal kebaikan) untuk mendapatkan keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya…”

Mari kita bersama-sama berlumba memperolehinya. InsyaAllah!.




No comments:

Powered by Blogger.