Ads Top

Ketawa Dalam Solat, Adakah Solat Terbatal?

Dalam solat, ada batasan dan peraturan yang akan menentukan sah atau tidak solat seseorang. Seandainya batasan ini dilanggar, maka solat boleh terbatal dan perlu diulangi semula. Setiap muslim wajib mengetahui perkara ini agar solat terjaga dan tidak melakukan perbuatan yang sia-sia.

Salah satu perkara yang dilarang dalam solat adalah bercakap. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menerangkan:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

“Sesungguhnya solat ini tidak patut di dalamnya terdapat percakapan manusia. Kerana dalam solat hanya terdapat bacaan tasbih, takbir dan ayat Al-Qur’an” (HR. Muslim)

Hukum Ketawa Dalam Solat

Para ulama fiqh memutuskan bahawa ketawa dalam solat juga termasuk dalam bab bercakap dalam solat. Namun, ketawa yang bagaimana dikira membatalkan solat? Bagaimana pula kalau menahan ketawa dan sekadar tersenyum?

Di dalam kitab Al-Majmu’ ala Syarh Al-Manhaj, Imam Nawawi menjelaskan permasalahan ini sebagaimana di bawah:

قال: (فرع) في مذاهبهم في الضحك والتبسم في الصلاة: مذهبنا أن التبسم لا يضر وكذا الضحك إن لم يبن منه حرفان فإن بان بطلت صلاته

“Cabang permasalahan dalam menjelaskan pendapat-pendapat para ulama dalam menjelaskan status tertawa dan tersenyum dalam solat: Mazhab kita (Syafi’iyah) berpandangan bahawa sesungguhnya tersenyum saat solat tidak membahayakan (tidak membatalkan) solat, begitu juga tertawa jika tidak tampak dua huruf dari tawanya. Jika tampak dua huruf dari tawanya maka solatnya menjadi batal.” (Syeikh Abu Zakaria Yahya an-Nawawi, al-Majmu’ ala Syarh al-Muhazzab, Juz 4, Hal. 89)

Jika anda mempunyai anak kecil, atau tinggal bersama kanak-kanak, situasi di mana kita ditegur oleh mereka ketika solat adalah situasi yang biasa terjadi. Kadang-kadang telatah mereka mencuit hati sehingga membuatkan kita tersenyum dan ketawa.

Maka, ketika itu perlu diperhatikan apakah tindak-tanduk kita dalam solat. Jika hanya tersenyum dan menahan ketawa dan tidak mengeluarkan apa-apa bunyi yang nyata dua huruf (seperti yang diterangkan di atas) seperti ‘Ha ha’ atau bunyi huruf yang lain, maka solat masih sah dan boleh diteruskan seperti biasa.

Berdehem Dalam Solat

Dilanjutkan lagi perbincangan ini bagi perbuatan lain dalam solat seperti berdehem, menangis atau menghembus dengan mulut atau hidung.

Menurut Syeikh Mutawalli Sya’rowi pula, ketika berdehem, jika bibir tertutup maka tidak batal secara mutlak (baik keluar dua huruf atau tidak) bila bibirnya terbuka dan sampai keluar dari dehemnya dua huruf maka batal, bila tidak keluar tidak batal.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menerangkan bahawa dalam Mazhab al-Syafie, berdehem itu perlu diperhatikan.Ia mungkin boleh membatalkan solat dan boleh jadi tidak. Jika dengan berdehem itu nyata sebutan dua huruf, sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti “قِ” (Qi) yang bermaksud peliharalah, maka batal lah solatnya. Adapun jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal. Begitu juga dikiaskan dengan ketawa, menangis, mengaduh, dan menghembus dengan mulut atau hidung. Rujuk al-Mu’tamad (1/224-225); Sabil al-Muhtadin (2/233)

Tambahan lagi, jika perbuatan berdehem itu adalah suatu perkara yang tidak dapat dikawal contohnya suara tidak dapat dikeluarkan dengan baik untuk membaca Al-Fatihah dengan betul, maka berdehem di sini dibenarkan sekalipun nyata dua huruf. Jika disengajakan dan tidak mempunyai keperluan, maka solatnya batal.

Peliharalah pelaksanaan solat kita dengan sebaiknya. Dengan mengambil tahu perkara-perkara yang boleh membatalkan solat, kita akan lebih berhati-hati dengan setiap perbuatan dalam solat seperti bacaan dalam solat, rukuk dan sujud dengan betul, menjaga thomakninah dan sebagainya. Semoga solat kita semakin menghampiri sempurna.




No comments:

Powered by Blogger.