Ads Top

Keampunan Allah Lebih Besar Daripada Kemurkaan-Nya

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah Ali Imran 3:129

Setiap anak Adam pasti tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Tidak kira kesalahan kecil atau besar. Tegasnya, pasti ada kesalahan yang dibuat.

Namun, ini tidak bermakna kita harus terus bergelumang dalam dosa. Tindakan yang perlu diambil adalah kita mesti keluar dari lubang dosa itu.

Ada yang masih tidak mahu berubah kerana takut tidak diterima oleh Allah. Alasannya adalah kerana banyaknya dosa yang dilakukan. Ibaratnya dosa sudah bergunung dan seperti banyaknya pasir di pantai.

Ya, kita perlu sedar kita banyak dosa. Tetapi jangan lupa, kita juga perlu sedar Allah Maha Pengampun kepada hambaNya. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah An-Nisa’ 4:106

Jangan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T. Rahmat Allah teramat luas. Pengampunannya lebih besar daripada dosa kita. Mintalah kemaafan dengan hati yang penuh penyesalan. Semoga Allah mengampuni segala kesilapan dan dosa yang pernah kita lakukan.

Selain itu, kita janganlah mengambil keputusan terburu-buru kerana perasaan bersalah yang menguasai diri. Ada yang berniat mahu membunuh diri kerana ingin menghilangkan perasaan bersalah dalam hati. Hakikatnya perbuatan itu hanya menambah masalah dan bukan penyelesaian yang tepat dan betul.

Jelaslah, hati mana yang tidak dibebani rasa bersalah ketika melakukan kesilapan dan dosa. Namun janganlah mengambil tindakan yang hanya menambahkan lagi dosa.

Kita perlu mengambil langkah bijak iaitu kembali kepada Allah S.W.T. Itulah solusi tepat yang perlu dibuat. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Surah Al-A’raf 7:153

Kisah Insan-Insan Yang Diampunkan Allah

Kita pasti ingin mengetahui kisah-kisah orang yang bertaubat. Dan taubatnya pula diterima oleh Allah S.W.T. Mari kita sama-sama mengikuti kisah insan-insan yang diampunkan kesalahannya oleh Allah S.W.T.

Semoga memberi semangat kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Inshaa Allah.

#1- Wanita Penzina Yang Bertaubat

Daripada Imran bin Husain, seorang wanita dari Juhainah datang menghadap Rasulullah S.A.W (pemerintah), dia sedang hamil akibat perbuatan zina. Wanita itu berkata:

“Wahai Rasulullah, aku melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.”

Lalu Rasulullah S.A.W memanggil wali perempuan itu dan bersabda kepadanya:

“Rawatlah wanita ini sebaik-baiknya, apabila dia melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.”

Lalu wali perempuan itu melakukan pesanan Rasulullah tersebut. Selepas itu, Rasulullah S.A.W memerintahkan untuk merejam wanita berkenaan, maka pakaian wanita itu dirapikan (supaya auratnya tidak terbuka ketika direjam).

Kemudian Baginda memerintahkan supaya wanita itu direjam. Setelah direjam, Baginda solatkan jenazah wanita berkenaan. Umar Al-Khattab bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

“Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia berzina?”

Rasulullah S.A.W menjawab:

“Sungguh, dia sudah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada 70 penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah S.W.T secara ikhlas?”Hadis riwayat Muslim

#2- Pembunuh Yang Bertaubat

Dikisahkan pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Lelaki itu ingin bertaubat dan dia bertemu dengan seorang rahib (pendeta).

Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh sebanyak 99 orang dan masihkah ada pintu taubat untuknya. Kemudian rahib itu menjawab tidak.

Lalu lelaki itu membunuh rahib tersebut. Dan cukuplah jumlah menjadi 100 orang yang dibunuhnya. Lalu dia bertemu pula seorang lelaki yang alim (yang berilmu). Dia menceritakan segalanya.

Lelaki alim tersebut menjawab masih ada peluang untuk bertaubat. Tidak ada siapa yang menghalang untuk lelaki tersebut bertaubat. Lelaki alim tersebut menyuruh lelaki yang telah membunuh 100 orang itu untuk ke negeri lain yang lebih baik.

Jangan kembali lagi ke negeri asal. Maka berangkatlah lelaki itu. Namun di pertengahan jalan dia telah meninggal dunia. Tidak sempat sampai ke negeri yang dituju.

Malaikat rahmat dan malaikat azab berselisih mengenai lelaki tersebut. Lalu datanglah seorang malaikat menjadi hakim dan memutuskan untuk mengukur jarak di antara dua negeri tersebut.

Dan keputusannya, lelaki yang bertaubat itu lebih dekat dengan negeri yang dituju. Maka malaikat rahmat yang membawanya.

(Kisah ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Diringkaskan kerana hadisnya yang panjang.)

Hikmah

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Surah al-Zumar 39:53

Pintu taubat masih terbuka luas selagi mana kita bernafas dan matahari belum terbit dari sebelah barat. Ingatlah Allah sentiasa menanti doa dan permohonan hambaNya.

Jangan berputus harap dan teruskan istiqamah dalam kebaikan. Jangan hiraukan kata cercaan dan hinaan orang lain kerana mereka bukanlah boleh membantu kita di akhirat kelak.

Sebagai pengakhiran, mari sama-sama kita menghayati hadis di bawah. Daripada Anas bin Malik R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampunkan apa yang kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau  meminta ampun kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” Hadis Riwayat Tirmizi

Waallahu a’lam.

Rujukan ;
1. Al-Quran dan terjemahan
2. Rebut Peluang Bertaubat
3. Amalan Penghapus Dosa (Karangan: Imam Ibn Al-Dayba’)




No comments:

Powered by Blogger.