Ads Top

Bukan Nak ‘Jual’ Anak Tapi Selesa Kerja Dengan Mereka – Ajak Shiro

Menampilkan dua anak lelakinya dalam muzik video single terbaharunya yang berjudul Yang Mano, Ajak Shiro menafikan dia berniat untuk ‘menjual’ anak-anaknya dalam industri hiburan.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, dia menjemput anak-anaknya, Mohd Jad Thaqif, 9, dan Mohd Had Thaqif, 6, terlibat dalam pembikinan muzik video itu kerana ia bersesuaian dengan konsep serta selesa bekerja dengan anak-anaknya.

“Saya libatkan anak-anak saya bukan kerana nak ‘jual’ mereka sebaliknya, saya ambil mereka sebab selesa bekerja dengan mereka kerana anak-anak merupakan individu paling rapat dengan saya.

“Malah saya dapat menjimatkan kos daripada membayar penari profesional lain malah anak sulung saya pula yang menjadi guru tarian saya kerana dia memang suka menari dan dia pun lebih cepat belajar semasa sesi latihan diadakan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Yang Mano di pejabat Warner Music di Mutiara Damansara, semalam.

Menurut pemilik nama penuh Mohamad Hanaffi Razak ini dia tidak menghalang minatnya sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang seni dengan lebih serius selepas ini.

“Saya memang mengikut sahaja minat anak-anak saya. Macam sekarang saya tengok anak yang sulung lebih aktif dalam bidang sukan dan sekarang pun dia aktif sukan Muay Thai, mana yang mereka minat saya sokong dan beri galakan,” ujarnya lagi.

Ajak yang mula bertapak menerusi program Raja Lawak berkahwin dengan seorang guru, Nur Afifah Amin pada 2009 dan dikurniakan tiga anak, Mohd Jad Thaqif, 9, Mohd Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.