Ads Top

Boleh Atau Tidak Menggantikan Puasa Ramadan Bersama Puasa Sunat Bulan Syawal?

“Boleh atau tidak menyatukan puasa ganti Bulan Ramadan bersama puasa sunat Bulan Syawal?”

Setiap tahun persoalan ini pasti muncul apabila Bulan Syawal tiba. Hal ini timbul kerana ramai yang ingin mengejar pahala puasa sunat di Bulan Syawal dalam masa yang sama keliru sama ada boleh atau tidak mendahulukan puasa sunat berbanding puasa ganti yang hukumnya wajib.

Dalam hal ini, pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah menerangkan dengan panjang lebar.

Orang Yang Tidak Berpuasa Dengan Sengaja vs Kerana Keuzuran

Orang yang tidak berpuasa atau berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran pada Bulan Ramadan, mereka wajib mengganti (qadha’) puasa tersebut sebaik sahaja habis Bulan Ramadan dan selepas hari raya yang pertama. Dia tidak boleh mendahulukan puasa sunat berbanding puasa wajib.

Bagi orang yang tidak berpuasa kerana mempunyai keuzuran yang dibenarkan syarak pula, harus bagi mereka untuk mendahulukan puasa sunat Bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa ganti kerana waktu puasa ganti sifatnya muwassa’ (luas) yakni boleh dilakukan pada waktu lain sepanjang tahun.

Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)

Bolehkah Menggabungkan Dua Ibadat Dalam Satu Niat?

Isu ini disebut sebagai permasalahan tasyrik (menggabungkan dua ibadat dalam satu niat). Dalam hal ini, ada dua keadaan yang perlu difahami:

1. Sekiranya ia termasuk dalam perkara wasilah yakni bercampur maka hukumnya adalah sah. Wasilah di sini bermaksud dua perkara yang terjadi bersama. Contohnya, seseorang itu ingin mandi junub pada hari Jumaat dalam masa yang sama ingin mandi sunat Hari Jumaat. Walaupun dia hanya berniat mandi junub sahaja, namun dia juga mendapat pahala mandi Jumaat, maka sah himpunan tersebut.

2. Dalam hal menghimpunkan dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha’ atau puasa kaffarah atau nazar berserta puasa sunat contohnya puasa sunat enam hari di Bulan Syawal, maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad. Hal ini demikian kerana, setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat yang lain yang diniatkan.

Isu Menggabungkan Niat Puasa Puasa Ganti Bulan Ramadan Dan Puasa Sunat 6 Hari Syawal

Para fuqaha’ dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat berkaitan hal menggabungkan niat ini.

Imam Ramli Rahimahullah Taala pula pernah ditanya tentang permasalahan ini lalu beliau menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada Bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Ringkasnya, menurut beliau, orang yang menggabungkan niat puasa ganti Ramadan dengan puasa sunat Bulan Syawal memperoleh kedua-dua puasa tersebut.

Walaubagaimanapun menurut Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala:

“Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)

Ini bermakna, melakukan kedua-dua puasa tersebut sekaligus dibolehkan namun tidak mendapat pahala yang sempurna.

Mendapat Ganjaran Bagi Kedua-dua Jika Diniatkan Bersama

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam hal mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)

Menurut keterangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan lagi, sebahagian ulama mengatakan sah seseorang itu melakukan puasa qadha Bulan Ramadan bersama puasa sunat enam hari di Bulan Syawal dan dia mendapat pahala puasa sunat yang dilakukan pada Bulan Syawal tersebut.

Hal ini kerana ia diqiyaskan dengan hal solat sunat Tahiyyatul Masjid di mana, apa jua solat dua rakaat yang ditunaikan sebaik sahaja masuk ke masjid tidak kira solat dua rakaat fardhu atau solat sunat rawatib contohnya , tetap dikira mendapat pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana dia melakukannya sebelum duduk.

Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata:

“Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain.(Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)

Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)

Bertepatan dengan pendapat di atas, Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A’syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)

Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)

Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasil keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”

Walaupun begitu, umat Islam di luar sana perlu mengambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.

Kesimpulan Daripada Keterangan Mufti Wilayah Persekutuan

Daripada keterangan di atas, hukum-hukum seputar isu melakukan puasa ganti Bulan Ramadan dan puasa sunat Bulan Syawal boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Wajib menggantikan segera puasa Ramadan yang ditinggalkan bagi mereka yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran. Tidak boleh mendahulukan puasa sunat sebelum selesai menggantikan puasa wajib.

2. Harus mendahulukan puasa sunat Bulan Syawal berbanding puasa wajib yang waktu pelaksanaannya boleh dilakukan pada bulan-bulan lain.

3. Afdhal (lebih baik) menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan dahulu berbanding puasa sunat Bulan Syawal.

4. Harus menggabungkan kedua-dua puasa tersebut (mengikut pendapat yang dhaif).

Semoga keterangan di atas mampu membantu kita semua dalam menjaga dan memperelokkan lagi pelaksanaan ibadah puasa khususnya dalam bulan Syawal ini.




No comments:

Powered by Blogger.