Bau Makanan Sehingga Menganggu Jiran – Adakah Sama Dengan Situasi Dalam Pejabat
Penulis pernah terbaca berita dan kisah menarik mengenai gaya hidup berjiran. Ada yang bergaduh disebabkan jiran, ada yang bermasam muka dengan jiran, ada yang terlalu baik dengan jiran dan ada juga yang tidak pernah mengenali langsung dengan siapa mereka berjiran.
Kisah-kisah yang kerap kali dijumpai melalui ruangan atau medium luahan seperti IIUM Confession atau Kisah Rumah Tangga dan sebagainya cukup menarik perhatian. Kadang-kadang kisah yang dikongsikan juga boleh mengundang reaksi negatif pelbagai pihak. Tak kurang juga boleh dijadikan bahan lawak apabila komen-komen tersebut diutarakan.
Sebagai contoh, pernah tular isu jiran yang memasak di luar rumah sehingga bunyi kuali dan mesin pengisar yang menjadi gangguan jiran tetangga. Itu tidak termasuk lagi dengan bau masakannya yang menggiurkan. Ramai yang berpendapat bahawa ia adalah perbuatan yang tidak senonoh dan mengganggu hak jiran sendiri.
Malah, menurut Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, hak sebagai jiran perlulah dijaga dengan sebaik mungkin. Ia sebenarnya tidak perlu tular untuk mengaibkan jiran tersebut walaupun niat asalnya adalah untuk meminta pendapat netizen mengenai permasalahan tersebut.
Buat jiran yang ingin melakukan aktiviti yang di luar kebiasaan seperti memasak di luar rumah pula, seeloknya meminta izin daripada jiran terlebih dahulu supaya dia memahami keberadaan dan situasi kita. Ia juga adalah untuk mengelakkan tularnya cerita yang tidak diingini daripada sebelah pihak sahaja sehingga boleh mengundang fitnah.
Bukankah Islam menitikberatkan adab berjiran supaya masing-masing dapat memberi keselesaan kepada kedua belah pihak. Di sini, Islam ingin mengajar kita untuk tidak mementingkan diri sendiri dan menghormati antara satu sama lain.
Dalam dunia ini, kita tidak hidup bersendirian. Kehidupan kita dikelilingi oleh pelbagai jenis makhluk seperti manusia dan haiwan, tumbuh-tumbuhan malah makhluk dari alam ghaib juga. Oleh itu, masing-masing punya hak terhadap kehidupan mereka sama ada dari diri sendiri atau daripada orang sekeliling.
Hidup kita pula walaupun tidak bergantung pada jiran, namun perlu sedar dan ambil tahu tentang adab berjiran. Hal ini kerana, jiran merupakan orang yang terdekat selain daripada ahli keluarga dan sanak-saudara. Kadang-kadang, jiran lebih mengetahui perihal kita berbanding saudara-mara yang jauh di mata dan jarang sekali bersua-muka.
Malah, suruhan berbuat baik terhadap jiran juga ada ditekankan menerusi kalam-kalam Allah dan hadis Baginda SAW.
وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah An-Nisa, 4:36)
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ عَبْدٌ حَتَّى يُحِبَّ لِجَارِهِ أَوْ قَالَ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksud: “Dan demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggamanNya, tidaklah seseorang beriman sehingga ia mencintai tetangganya, atau dia berkata untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri. (Hadis Riwayat Muslim)
Jiran membawa maksud orang yang paling dekat dengan rumah kita. Dari segi syarak, ia membawa maksud orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada kiri, kanan, depan, atas atau bawah sehingga 40 rumah dari setiap sudut.
Ramai dalam kalangan para sahabat dan juga ulama’ yang mengatakan bahawa, jika dikurniakan jiran yang baik itu adalah bukti dan tanda kebaikan manusia. Namun, hal ini tidaklah bererti jika buruk jirannya, maka buruk juga perangainya. Boleh jadi, Allah ingin menguji hambaNya dengan diberi ujian jiran yang kurang baik dan sebagainya.
Boleh jadi juga, ia akan menjadi salah satu saham akhirat kita terhadap jiran dengan mencuba untuk membawa kebaikan kepada mereka.
اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
Maksud: “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang tidak baik, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.
Hak Kepada Jiran
Adab berjiran ialah dengan melaksanakan hak terhadap mereka dengan baik. Banyak ajaran Islam yang telah ditekankan untuk menghadapi kehidupan berjiran. Malah, Imam Nawawi dan Al-Ghazali juga memupuk supaya semangat kejiranan ini diamalkan untuk mengikat silaturahim dan juga menghormati sesama jiran.
Adab dan hak dengan jiran juga termasuk dengan sikap yang baik, percakapan, perangai, tingkah laku haruslah berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah. Malah Imam Ghazali mengatakan hak kepada jiran ini perlulah diusahakan agar terlaksana, walaupun bukan semua sekurang-kurangnya sedikit. Berikut merupakan beberapa hak dengan jiran yang boleh diamalkan:
#1 – Jangan Menyakiti Jiran
Untuk hidup dengan harmoni, kita perlu sentiasa memahami jiran kita. Jika tidak ingin disakiti, maka kita tidak boleh menyakiti.
What you give, you get back.
Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga ketenteraman kawasan rumah dengan tidak berbuat perkara yang boleh menyakiti hati jiran.
لَا يَدْ خُلُ اَلْجَنَّةَ مَنْ لَا يأمَنُ جَارُهُ ئِقَهُ
Maksud: “Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berbuat bising sehingga tengah malam, memasang radio dengan kuat, pokok yang ditanam telah memasuki kawasan rumah jiran sehingga mencalarkan kereta mereka, perangai anak-anak kecil yang suka berbuat kotor di halaman rumah jiran dan banyak lagi yang disangkakan perkara kecil pada padangan mata kita namun sebenarnya dilihat besar oleh pihak lain sehingga boleh menimbulkan perbalahan.
Hal-hal seperti inilah yang perlu dielakkan. Seeloknya, gunakan cara komunikasi dengan baik agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat sehingga boleh bermasam-muka. Ia adalah untuk mengelakkan perbalahan, bukannya menimbulkannya.
Jika jiran kita seorang yang keras kepala dan sukar untuk menerima nasihat, maka kita perlulah bersabar dengan perkara tersebut. Mintalah kepadaNya semoga jiran kita terbuka hati untuk mengubah perangainya.
Hal ini juga pernah diceritakan melalui sebuah kisah sahabat yang bernama Malik Ibn Dinar yang berjiran dengan seorang kafir. Orang kafir tersebut sengaja menghalakan parit ke rumah Malik sehinggakan menyebabkan kotoran akan masuk ke kawasan rumahnya.
Malik pada awalnya telah menasihati jirannya namun tidak diendahkan. Beliau tetap bersabar dengan perkara itu dan sentiasa membersihkan kotoran tersebut, malah dia sentiasa menghadiahkan senyuman buat jirannya itu.
Sikapnya yang mulia itu akhirnya telah memberikan kesan positif kepada jirannya itu dengan menghentikan perbuatan tidak elok tersebut dan mula melihat kebaikan yang ada dari sisi Islam.
#2 – Memelihara Jiran
Memelihara kepentingan jiran di sini bermaksud membantu menjaga kawasan rumah mereka jika mereka tiada. Sebagai contoh, jika mereka pulang ke kampung atau pergi bercuti, kita boleh tolong menyiram pokok bunga mereka atau memberi haiwan peliharaan mereka makan.
مَنْ اَقرَّ عَيْنَ مُؤْمِنِ اَقَرَّ اللهُ عَيْنَهُ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ
Maksud: “Barangsiapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ibn Mubarak)
Jika mereka juga sedang dalam kesusahan, maka kita perlu mencuba untuk menolong mereka. Namun, jika kita juga sedang dalam kesusahan, maka tidak mengapa. Kita boleh menolong sekadar kemampuan kita sahaja.
Namun, perlu dilihat, jika jiran kita jenis yang suka mengambil kesempatan seperti selalu menggunakan beras kita tanpa membayar semula atau suka meminjam barangan sehingga rosak atau tidak dipulangkan dan sebagainya, maka kita perlu berpada-pada dalam hal ini.
Hal ini kerana, Islam tidak ingin umatnya dilabel sebagai orang yang senang diambil kesempatan atau kurang cerdik. Kita juga pasti pernah mendengar kata-kata orang tua-tua yang menyebut, jangan jatuh ke lubang biawak dua kali.
Dalam hal ini, muslim itu sendiri perlu menyelesaikan masalah dengan berhemah dan bijak tanpa menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.
#3 – Berbuat Baik Kepada Jiran
Berbuat baik kepada jiran adalah dengan mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati. Jika mereka sakit, maka lawatlah. Jika mereka sedang bersedih, beriah kata-kata semangat atau jika terjadi kematian, iringilah mereka sehingga ke perkuburan.
Dengan mengiringi mereka ke tanah perkuburan, kita telah melaksanakan hak terakhir sebagai jiran kepada mereka.
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّيَ فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْن
Maksud: “Rasulullah SAW bersabda; sesiapa yang menyaksikan jenazah sehinggalah jenazah disembahyangkan, maka baginya qirat dan sesiapa yang menyaksikan sehingga dikebumikan maka baginya 2 qirat. Dikatakan apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat. Rasulullah menjawab seumpama dua bukit yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Adakah Konsep Berjiran Boleh Diamalkan Di Mana-Mana
Sebenarnya Islam mengajar kita untuk belajar dan melatih diri dari sekecil-kecil perkara. Malah, pepatah Melayu juga ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Setiap perkara besar pasti bermula dengan nilai yang sedikit dan kecil.
Ajarlah anak-anak kita untuk menghormati sekeliling mereka bermula dari rumah lagi. Dalam peringkat ini anak-anak akan berlajar melalui contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka.
Jika baik di rumah, maka mereka akan belajar untuk mengaplikasikan di kawasan terdekat mereka seperti kawasan kejiranan dan juga sekolah. Sikap toleransi dan amalan mulia seperti inilah yang wajar dipupuk sejak dari kecil lagi. Ia perkara asas yang sepatutnya ditekankan dalam dunia anak-anak agar mereka membesar menjadi orang yang berguna.
Walau bagaimanapun, timbul juga persoalan mengenai adab berjiran yang perlu diamalkan dalam situasi-situasi tertentu seperti pejabat, rakan sekelas dan sebagainya.
Jika dilihat, ada hadis yang menyuruh kita untuk berkongsi makanan jika bau yang dimasak itu masuk sehingga ke rumah jiran dan menaikkan aromanya.
يَا أَبَا ذَرٍّ ، إِذَا طَبَخْتَ مَرَقَةً ، فَأكثِرْ مَاءهَا ، وَتَعَاهَدْ جيرَانَكَ
Maksud: “Wahai Abu Dzar, jika kamu memasak makanan berkuah, maka lebihkanlah kuahnya dan lihatlah jiranmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Para tafsir mengulas bahawa, jika sehingga ia mengganggu orang sebelah, maka seeloknya ditawarkan walau sedikit dengan masakan tersebut. Namun, jika masakan yang dimasak hanya mencukupi untuk diri sendiri atau ahli keluarga sahaja, maka itu adalah tidak mengapa.
Islam tidak memaksa kita untuk berbuat baik terhadap orang lain dengan mengabaikan perut ahli keluarga sendiri. Hal ini bermaksud, tiada jatuh hukum berdosa jika tidak ditawarkan.
Namun, dari segi adab berjiran dan untuk melahirkan toleransi sesama kita, maka ia adalah digalakkan. Disebabkan itulah, kata-kata Rasulullah adalah dengan melebihkan kuah. Tidak kiralah kita memasak daging atau ayam yang hanya cukup untuk kita, namun jika dilebihkan kuah, maka bolehlah dikongsi bersama.
Jika dalam situasi pejabat atau rakan sekelas, ia hanyalah sekadar adab untuk tidak mengganggu mereka dengan aroma makanan tersebut. Ini bermaksud, jika hanya kita seorang sahaja yang sedang makan sedangkan orang lain tidak, maka seeloknya dimakan di tempat lain untuk mengelakkan ketidakselesaan mereka.
Jika mampu untuk dikongsi bersama, maka itu adalah lebih baik.
Kesimpulan
Setiap perkara yang diajar dalam Islam pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Seperti adab berjiran, ia adalah untuk mewujudkan silaturahim dan menimbulkan sikap hormat-menghormati sesama kita kerana ia merupakan amalan mulia yang bukan sahaja boleh diaplikasikan dengan jiran, malah dalam kehidupan kita sendiri.
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Maksud: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rujukan: Mufti Wilayah
No comments: