Menelusuri Kehebatan Saad Bin Abi Waqqas
Kepahlawanan Saad Bin Abi Waqqas tertulis dengan tinta emas saat memimpin pasukan Islam melawan tentera Persia di Qadisiyah. Peperangan ini merupakan salah satu peperangan terbesar umat Islam.
Bersama 3000 tenteranya, beliau berangkat menuju ke Qadisiyah. Di antara ahli tenteranya terdapat 9 veteran tentera peperangan Badar, lebih dari 300 orang tentera yang ikut serta dalam ikrar Riffwan di Hudaibiyah dan 300 orang tentera lagi di antaranya yang ikut serta dalam peristiwa pembebasan Kota Mekah bersama Baginda Rasulullah S.A.W.
Selebihnya 700 orang putera para sahabat dan ribuan wanita yang turut serta dalam peperangan ini sebagai perawat dan tenaga bantuan.
Pasukan tentera Islam berkhemah di Qadisiyah berdekatan Hira’ sebagai persediaan untuk bertempur dengan pasukan Persia yang pada ketika itu seramai 120 000 orang tentera di bawah pimpinan panglima perang kenamaan mereka iaitu Rustum.
Sebelum memulakan peperangan di atas perintah Saidina Umar al-Khattab (ketika beliau menjadi khalifah saat itu), Saad mengirim surat kepada kaisar Persia, Yazdagird dan Rustum yang kandungannya adalah undangan untuk masuk Islam.
Delegasi Muslim yang pertama berangkat adalah Nu’man Bin Muqarrin yang kemudian mendapat penghinaan dan menjadi bahan ejekan Yazdagird.
Semasa mengirim surat kepada Rustum, Saad mengirim delegasi yang dipimpin Rubiy Bin Amir. Kepada Rubiy, Rustum menawarkan segala kemewahan duniawi.
Namun, ia tidak berpaling dari Islam dan menyatakan bahawa Allah S.W.T menjanjikan kemewahan lebih baik iaitu syurga. Para delegasi Muslim kembali setelah kedua pemimpin itu menolak tawaran masuk Islam.
Melihat kepada hal tersebut, air mata Saad bercucuran kerana ia terpaksa melancarkan peperangan yang bererti mengorbankan nyawa orang Islam dan bukan Islam.
Tetap Berjihad Walaupun Sakit
Setelah itu, untuk beberapa hari ia terbaring sakit kerana tidak kuat menanggung kepedihan jika peperangan harus terjadi. Saad mengetahui bahawa peperangan ini akan menjadi peperangan yang sangat keras yang akan menumpahkan darah dan mengorbankan banyak nyawa.
Ketika sejenak berfikir, Saad akhirnya mengetahui bahawa dia tetap harus berjuang. Oleh sebab itu, meskipun terbaring sakit Saad segera bangkit dan menghadapi pasukannya.
Di hadapan tentera Muslim, Saad mengutip Al-Quran Surah Al-Anbiya ayat 105 mengenai bumi yang akan dipusakai oleh orang-orang soleh seperti yang tertulis dalam Kitab Zabur.
Setelah itu, Saad berganti pakaian kemudian menunaikan solat Zuhur bersama tenteranya. Setelah itu, dengan membaca takbir, Saad bersama pasukan Muslim memulakan peperangan.
Selama empat hari peperangan berlangsung tanpa henti dan menyebabkan korban 2000 orang tentera Muslim dan 10 000 orang Persia. Peperangan Qadisiyah merupakan salah satu peperangan terbesar dalam sejarah dunia. Pasukan Muslim memenangi peperangan itu.
Pemuda Yang Tegas
Saad Bin Abi Waqqas lahir dan dibesarkan di Kota Mekah. Dia dikenali sebagai pemuda yang tegas dan memiliki pemikiran yang cerdas.
Sosoknya tidak terlalu tinggi namun bertubuh tegap dengan potongan rambut pendek. Orang-orang selalu menggelarkannya dengan singa muda.
Beliau berasal daripada keluarga bangsawan yang kaya dan disayangi kedua ibu bapanya. Saad Bin Abi Waqqas sangat membenci pada agamanya (sebelum memeluk Islam) dan cara hidup yang dianuti oleh masyarakatnya yang menjadikan penyembahan berhala sebagai gaya hidup di Kota Mekah ketika itu.
Keislaman Saad Bin Abi Waqqas
Suatu hari Saad didatangi sosok Saidina Abu Bakar yang dikenali sebagai orang yang peramah. Saidina Abu Bakar mengajak Saad menemui Nabi Muhammad S.A.W di sebuah perbukitan berhampiran Kota Mekah.
Pertemuan itu memberikan kesan kepada Saad yang baru berusia 20 tahun. Dia pun segera menerima ajakan Nabi Muhammad S.A.W untuk menjadi salah seorang penganut ajaran Islam yang dibawanya. Saad menjadi salah satu sahabat yang pertama memeluk Islam.
Namun keislaman Saad mendapat tentangan keras terutamanya dari keluarga dan anggota sukunya. Ibunya bahkan mengancam untuk membunuh diri.
Selama beberapa hari, ibunya tidak mahu makan dan minum sehingga kurus dan lemah. Meski dipujuk dan dibawakan makanan, namun ibunya tetap menolak dan hanya makan jika Saad kembali kepada agama yang asal.
Namun Saad berkata bahawa meski dia memiliki kecintaan luar biasa pada sang ibu, namun kecintaannya pada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W jauh lebih besar lagi.
Saad Sahabat Yang Dikurnia Kekayaan
Saad merupakan salah seorang sahabat yang dilimpahi kekayaan yang juga banyak digunakan untuk kepentingan dakwah.
Saad juga terkenal dengan keberaniannya dan kedermawaan hatinya. Saad hidup hingga usianya menjelang 80 tahun.
Menjelang wafatnya, Saad meminta puteranya untuk mengkafankannya dengan jubah yang beliau gunakan dalam Perang Badar. Saad berkata;
“Kafani aku dengan jubah ini kerana aku ingin bertemu Allah SWT dalam pakaian ini.”
Rujukan:
Kisah Saad Bin Abi Waqqas PDF
No comments: