Mak Bersalin, Lepas Ini Jangan Tanya Doktor ‘Berapa Banyak Jahit’ Lagi Dah
Rupanya ramai juga di kalangan mak mak yang lepas melahirkan akan bertanyakan soalan baik pada misi atau doktor, ‘berapa banyak jahit.’
Ini pengalaman yang doktor lalui sendiri. Doktor Nur Hanisah terangkan dengan jelas persoalan mak-mak itu sebenarnya TAK ADA JAWAPAN. Baik doktor mahupun nurse tak tahu nak jawab macam mana.
Doktor terang alasannya, beserta tahap kedalaman luka bersalin yang mak-mak bersalin berkemungkinan akan alami. Haa.. nanti bila dah faham, automatik soalan ‘berapa banyak jahit’ tu pun hilang.
Bila Mak Bersalin Tanya Doktor ‘Berapa Banyak Jahit’
“Berapa banyak jahit, doktor?”
Dia bertanya setelah proses jahitan berhenti seketika.
Jarum berbentuk bulan sabit diketap kuat menggunakan needle holder di tangan kanan.
“Kraaaap!”
Bunyi yang sungguh enak kedengaran.
“Err… tak tahu nak kata berapa banyak. Tapi, banyak lah, puan.” Dalam kerut muka, saya membalas pertanyaannya.
Kemudian, sambung menjahit luka yang hampir sempurna. Dalam kepala, masih ligat berfikir jawapan bagi menjawab persoalan dia.
“Kenapa puan tanya macam tu?”
“Oh… tak ada apa pun doktor. Nak tahu je. Senang la nak jawab nanti kalau ada makcik-makcik tanya.”
Erk! Macam tu rupanya!
Misi Pun Garu Kepala, Nak Jawab Soalan Jahit Luka Tu
Ingatkan apa lah yang penting sangat, puan. Nak jawab soalan acik-acik bawang rupanya. Saya tepuk dahi dalam hati.
Sampailah suatu hari, saya cuba tanya kepada seorang kakak misi.
“Kak, kalau patient tanya berapa banyak jahit, kak jawab macam mana?”
Dia garu kepala.
“Eee… Tak tahulah doktor… Kak pun pening bila patient tanya macam tu. Entah dia ingat kita boleh kira ke apa?”
Saya tergelak mendengar jawapan dia.
Entah kenapa soalan ini akan menjadi satu persoalan misteri oleh kebanyakan ibu yang baru sudah bersalin.
Berapa banyak jahitan.
Itulah yang dirisaukan.
Kami, doktor dan para misi, sejujurnya akan keliru sekiranya ditanya soalan misteri ini.
Cuba Tanya Tukang Jahit, Berapa Banyak Jahit Seluar Koyak..
Ibaratnya nak tahu macam mana?
Kita pergi tanya tukang jahit,
“Berapa banyak jahit ya seluar yang koyak tu?”
Hah! Kan dah pening nak jawab!
Bukannya tukang jahit tu kira berapa banyak yang dia jahit. Selagi dia nampak ada tempat yang koyak, selagi tu dia akan jahit. Pokok pangkalnya, ikut suka hati dia.
Macam itulah juga jahit tempat ‘koyak’ manusia. Boleh jadi, walau luka hanya sebahagian kecil, kita jahit berkali-kali. Melainkan memang nyata hanya memerlukan satu, dua jahitan sahaja. Itu lainlah cerita.
Inilah Yang Sepatutnya Mak Bersalin Ambil Tahu
Sebenarnya, tentang luka di bahagian perineum seorang wanita bersalin ini memang amat diambil kisah oleh kami yang bekerja dalam bidang ini.
Cuma, bukan berapa banyak jahitan yang penting untuk kami ambil tahu. Tetapi, “tahap kedalaman“. Itulah yang kami titikberatkan.
Kedalaman luka atau koyak di bahagian kulit luar faraj (perineum) ada beberapa tahap. Tahap satu, hingga tahap empat pun ada.
Secara ringkas saya boleh cerita,
Tahap satu.
Itu luka yang melibatkan bahagian kulit perineum sahaja.
Tahap dua.
Luka telah melibatkan otot pula, tetapi masih di bahagian perineum.
Tahap tiga.
Kedalaman telah melibatkan otot pada bahagian dubur. Istilahnya mediknya, external & internal anal sphincter. Bermula tahap ini, jahitan perlu dibuat di dalam dewan bedah.
Tahap empat.
Koyakan sehingga ke usus bahagian bawah yang menyimpan najis. Itulah yang dipanggil ‘rectum’.
Dalam tahap tiga dan empat, kebiasaannya pesakit akan mengalami masalah untuk kemut.
Sebab itu jangan pelik apabila sesudah siap jahit, doktor akan masukkan jari dalam lubang najis dan suruh cuba kemut. Tujuannya adalah untuk tahu sama ada otot di bahagian dubur berfungsi dengan baik atau tidak.
Jadinya selepas ini, boleh cuba tukar soalan kepada berapa kedalaman luka.
Bukannya, “Berapa banyak jahit ya?”
Sekian.
Sumber/Foto : Nur Hanisah, Tukang Jahit Manusia *yang berkongsi ilmu di facebook dalam #HospitalTarbiah
Tolong sampaikan ilmu penting ini kepada ahli keluarga dan geng mak-mak yang sedang berbadan dua supaya nanti dapat soal dengan ilmu yang penuh di dada.
P/s: Kalau perasan, saya dah lama tak cerita tentang posting O&G (posting sakit puan) ni. Sebabnya, saya dah tukar posting medical sekarang. Tapi ni kes sebab teringat cerita lama. Izinkan saya post sekali ya!
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
The post Mak Bersalin, Lepas Ini Jangan Tanya Doktor ‘Berapa Banyak Jahit’ Lagi Dah appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: