Ads Top

Halim Dhanidina, Hakim Beragama Islam Pertama di California

California mencipta sejarah apabila Halim Dhanidina, seorang rakyat Muslim Amerika telah dilantik menjadi Hakim beragama Islam pertama di Mahkamah Rayuan California pada penghujung tahun 2018 yang lalu.

Di saat Islamofobia masih lagi memuncak di negara-negara barat, pelantikannya merupakan suatu cabaran yang perlu dihadapi dengan bijak. Selain komen-komen negatif yang diterima, ada yang mempersoalkan pendiriannya dalam hal demokrasi. Halim menegaskan bahawa perbezaan pendapat begitulah inti kepada proses demokrasi.

Beliau dilahirkan dalam keluarga India Gujerat yang berhijrah ke Afrika Timur sebelum berpindah sekali lagi ke Amerika Syarikat. Rachel Andres, teman sejawatnya yang beragama Yahudi berkata; “Halim sangat mengambil berat tentang komuniti, tentang Muslim, orang Yahudi, tentang perhubungan, keadilan dan kesaksamaan”.

Apabila Halim ditanya bagaimana agama Islam memberi kesan kepada keputusan yang dibuat dalam mahkamah, beliau menjawab ;

“Dalam Islam juga ada kod etika yang sama seperti agama Yahudi, Kristian, Buddha iaitu kejujuran, integriti, keadilan, dan juga kasih sayang. Konsep ini ada dalam kebanyakan agama. Kepercayaan dan bagaimana saya dibesarkan dalam agama Islam ini memberi kesan kepada cara fikir saya tentang pentingnya untuk mempunyai integriti, jujur dan melayan orang seadilnya”

Semoga pelantikan ini semakin membuka mata dunia tentang bagaimana Islam sebenarnya memandu hidup manusia.




No comments:

Powered by Blogger.