Ads Top

Betul Ke Niat Buruk Tak Dapat Dosa?

Selalu kita mendengar kata-kata seperti “Tak apa, baru niat (perkara dosa), belum buat. Tak dapat dosa”.

Kita maklum bahawa jika ada niat untuk mengerjakan kebaikan, maka akan dikurniakan juga pahala. Namun ada yang perlu difahami pula dalam hal ‘niat untuk melakukan kejahatan’. Mari kita ikuti perbincangan dan jawapan yang telah dikemukakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Daripada Ibn Abbas RA daripada Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna.

Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Riwayat al-Bukhari, No. 6491)

Walaubagaimanapun, hadis di atas tidak boleh disalahfahami dengan menganggap sekiranya berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya maka akan mendapat pahala. Ini kerana, terdapat hadis lain yang menghuraikan hal ini daripada sisi yang berbeza. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ قَالَ فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ قَدْ أَرَادَ قَتْلَ صَاحِبِهِ

Maksudnya: “Bila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh berada di dalam neraka. Aku (Abu Bakrah) pun bertanya,

“Wahai Rasulullah, orang yang membunuh (memang patut dimasukkan ke dalam neraka), bagaimana pula dengan orang yang dibunuh? Nabi SAW menjawab: ‘Sesungguhnya dia mahu membunuh temannya” (Riwayat al-Bukhari, No. 14)

Di sini dapat difahami bahawa niat seseorang untuk melakukan kejahatan juga dikira mendatangkan dosa SEKIRANYA niat itu disertai dengan keazaman, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi, tinggal sahaja terhalang untuk melakukannya.

Berhubung dengan hadis pertama (Riwayat al-Bukhari, No. 6491), Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, “Al-hummu itu mentarjihkan niat bagi perbuatan. Misalnya: ‘Aku telah berniat dengan tekad untuk ini…’ atau ‘aku berniat dengan niat yang tekad…” dan ianya adalah lebih atas daripada sekadar sesuatu lintasan dengan hati.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/323)

Bagi memudahkan pemahaman perkara ini dihuraikan dalam bentuk turutan seperti di bawah:

1. Sekiranya tujuan niat untuk melakukan kebaikan atau kejahatan itu hanya berlegar atau terlintas dalam hati atau sekadar terdetik misalnya, kemudian tidak dilakukan maka ianya tidak dikira berpahala atau berdosa.

2. Apabila niat tersebut sampai kepada tahap keazaman dan niat yang tekad; sekiranya niat untuk melakukan kebaikan kemudian terhalang atas beberapa sebab, maka dikira baginya pahala. Jika dia niat untuk melakukan kejahatan, kemudian tidak melakukannya atau meninggalkannya kerana Allah SWT, maka ditulis baginya pahala. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis pertama yang kami nyatakan di atas.

3. Sekiranya niat untuk melakukan kejahatan sampai kepada keazaman dan niat yang tekad, tetapi terhalang kerana beberapa faktor, maka dia dikira berdosa. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis kedua seperti di atas.

Perbincangan ini ditutup dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.” (Riwayat al-Bukhari, No. 5269)

Berdasarkan kalam Imam al-Ghazali yang dicatatkan dalam Kitab al-Kafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi menjelaskan,

“Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan berbuat maksiat.”

Kesimpulannya, niat sentiasa perlu dinilai dan diperiksa – adakah kita masih memelihara niat yang baik, atau telah tergelincir kepada sesuatu yang buruk.

Jika hati terasa cenderung untuk melakukan kejahatan, carilah perlindungan daripada Allah SWT dengan menyebut kalimah isti’azah (a’udzu billahi minasy syaithonir rojim) yang bermaksud ‘Aku berlindung kepada Allah dari (godaan, kejahatan, bisikan) syaitan yang terkutuk’.

“Jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Surah Al-A’raf 7:200)

Sumber:
Al-Kafi #631: Berniat Buat Jahat Tetapi Tidak Buat




No comments:

Powered by Blogger.