Ads Top

Bagaimana Untuk Baca 200 Buku Setahun

“Kalau nak jadi editor kena banyak membaca. Tak kisah editor apa pun, topik apa pun. Bila banyak membaca, baru tahu perkara tu penting atau tak”

Begitu kami dikhutbahkan oleh bos semalam.

Dalam diam saya bersetuju. Membaca, selain meluaskan pengetahuan, ia dapat memperkayakan kosa kata serta mempelbagaikan sudut pandang dan cara fikir. Komunikasi dengan sesiapa pun tidak jadi membosankan kerana kita boleh memetik apa-apa topik untuk dibincangkan.

Membaca membuatkan kita bermimpi dan tidak takut bercita-cita. Jika ditanya saya secara peribadi, apakah buku-buku yang menginspirasikan saya untuk terus mengejar impian, maka saya akan menjawab buku-buku tulisan Andrea Hirata seperti Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Buku-bukunya mempunyai magis. Anda dapat merasakan dada anda penuh harapan untuk menghadapi hari-hari seterusnya.

Melalui artikel yang ditulis oleh Charles Chu dari qz.com, katanya jika kita memperuntukkan masa yang dihabiskan dengan sosial media untuk membaca, kita sebenarnya mampu untuk menghabiskan sekitar 200 buah buku setahun! Tak percaya? Mari, saya ceritakan semula.

Seseorang pernah bertanya Warren Buffet, CEO Berkshire Hathaway di Amerika Syarikat tentang rahsia kejayaannya lalu beliau menjawab:

“Read 500 pages like this every day. That’s how knowledge works. It builds up, like compound interest. All of you can do it, but I guarantee not many of you will…”

Setelah mendengar kata-kata ini, Charles membuat kiraan, berapa jam sebenarnya kita perlu membaca setiap hari, untuk mencapai target 200 buku setahun.

#1- Jangan Berhenti Sebelum Bermula

“Saya sibuk, tak sempat”

“Saya tak minat buku”

Anda tidak perlu pun minat semua jenis buku untuk mula membaca. Dan anda tidak perlukan banyak masa pun sebenarnya untuk membaca. Apa yang diperlukan hanyalah konsistensi atau rutin yang berterusan. Mulakan sahaja dengan apa-apa genre yang anda minat. Lama kelamaan, buku tersebut akan mengenalkan anda kepada buku dengan topik yang lebih pelbagai.

#2- Jom Kira!

Menurut kiraan yang dibuat oleh Charles, penduduk Amerika membaca 200 hingga 400 patah perkataan dalam masa seminit. Sebuah buku bukan fiksyen pula biasanya mempunyai 50,000 patah perkataan.

Maka kiraan ringkas yang boleh dibuat seperti di bawah:

200 (buku setahun) x 50 ribu patah/buku = 10 juta juta patah perkataan

10 juta (patah perkataan) ÷ 400 patah/minit = 25 ribu minit

25 ribu minit ÷ 60 minit = 417 jam

Anda hanya memerlukan 417 jam setahun untuk menghabiskan 200 buku. Masih terasa banyak? Baik, kita bahagikan lagi 417 jam kepada 365 hari, bermakna anda hanya perlu memperuntukkan sekitar 1 jam 16 minit sahaja setiap hari untuk membaca!

#3- Peruntukkan Masa

Hakikatnya membaca bukan suatu yang sukar. Yang sukar ialah meluangkan masa yang dihabiskan dengan melihat isu selebriti , drama dan orang yang bertelingkah di media sosial dengan membaca. Yang sukar ialah berhenti ‘scroll’ apa yang ada di sosial media.

#4- Membaca Juga Perlukan Strategi

Apa yang ada di media sosial memang direka bersifat ‘addictive’. Anda lebih tahu bagaimana ia dapat mengganggu fokus anda ketika melakukan suatu kerja. Jadi, apabila ingin membaca, jauhkan diri dari apa jua jenis peranti (gajet).

Jika target anda ialah untuk menambah bacaan berbanding kedalaman sesuatu topik, maka tidak perlu terlalu memilih medium yang digunakan dan juga di mana pun anda berada. Anda boleh menggunakan kemudahan telefon bimbit untuk membaca apa sahaja maklumat yang ada di internet, pada bila-bila masa terluang yang ada- semasa menunggu bas, di dalam pengangkutan awam atau sebelum tidur.

Diharapkan, apa yang telah diterangkan mampu membantu anda sedikit sebanyak untuk mula membaca buku. Percayalah, dalam masa setahun ini, anda akan menemui banyak sekali harta berharga hanya dengan membaca.

“I read a book one day and my whole life was changed” – Orhan Pamuk




No comments:

Powered by Blogger.