KRU Umum Bakal Buka ‘KRU Café’ Berkonsepkan Kafe Bertemakan Muzik & Hiburan
Susulan kejayaan luar biasa siri konsert KRU baru-baru ini, antara kumpulan muzik paling ikonik di Malaysia kini melangkah ke satu lagi fasa yang mengujakan menerusi pengumuman KRU Café.
Ia adalah sebuah konsep kafe yang menggabungkan pengalaman menjamu selera dan hiburan secara imersif, yang dijadualkan dibuka di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga tahun 2026.
Idea untuk mewujudkan KRU Café tercetus apabila KRU sendiri menyaksikan secara langsung betapa luar biasanya semangat dan sokongan yang terus diberikan oleh para peminat terhadap muzik mereka.
Kumpulan ini berjaya menjual habis lima konsert utama di Malaysia dan Singapura, manakala lagu-lagu mereka sekali lagi menduduki carta penstriman di Spotify dan Shazam.
Video muzik serta kandungan berkaitan turut meraih jutaan tontonan di pelbagai platform digital, membuktikan fenomena KRU masih kekal utuh sehingga hari ini.
Dengan keterujaan peminat yang kembali memuncak, KRU melihat peluang untuk mewujudkan sebuah platform yang membolehkan hubungan dengan para peminat diteruskan melangkaui konsert dan platform penstriman muzik.
Daripada situ lahirlah idea sebuah restoran bertemakan KRU yang meraikan perjalanan muzik mereka, membangkitkan nostalgia buat peminat setia, serta memperkenalkan legasi kumpulan ini kepada generasi baharu.
Bagi merealisasikan visi tersebut, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, selaku syarikat yang menguruskan KRU, telah diberi tanggungjawab untuk menghimpunkan rakan-rakan strategik bagi menjayakan projek ini.
Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong berkata, pihaknya sangat teruja dengan projek ini sejak hari pertama lagi.
“Apa yang paling menarik perhatian kami ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan para peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif.
“KRU Café pada akhirnya adalah tentang menghidupkan semula legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik, di mana para peminat dapat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam sebuah suasana yang benar-benar baharu,” ujarnya.
Di bawah kerjasama ini, TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV), kumpulan hospitaliti yang membangunkan beberapa jenama restoran termasuk The Majapahit, sebuah restoran fine casual yang bakal memasuki tahun kesepuluh operasinya, akan bertanggungjawab membangunkan serta menyusun keseluruhan penawaran makanan dan minuman untuk KRU Café.
Menu yang bakal diperkenalkan dijangka menampilkan gabungan unik cita rasa Asia Tenggara bersama pilihan hidangan Barat yang popular, termasuk sajian panggang premium dan stik, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang mampu memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pelanggan.
Menyertai projek ini sebagai rakan strategik bagi operasi dan pengembangan ialah Babah Ventures Sdn Bhd (BBV), syarikat di sebalik jenama Nasi Padang yang mencipta fenomena, Bumbu Babah, yang diasaskan bersama oleh selebriti Malaysia, Ajak Shiro.
Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, Bumbu Babah telah berkembang kepada hampir 60 cawangan di seluruh negara, sekali gus muncul sebagai antara jenama F&B yang paling pesat berkembang dan paling mendapat perhatian di Malaysia.
Mengulas mengenai projek tersebut, ahli-ahli KRU menyatakan keterujaan mereka terhadap potensi yang dimiliki oleh KRU Café.
Edry Abdul Halim berkata, “Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh para peminat sepanjang beberapa dekad ini. KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama.”
Yusry Abdul Halim pula menambah, “Kami juga berharap KRU Café dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu. Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti.”
Sementara itu, Dato’ Norman Abdul Halim berkata, “Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah.
Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa. Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia.”
Bagi Ajak Shiro, Pengasas Babah Ventures, peluang untuk bekerjasama dengan KRU merupakan keputusan yang tidak sukar untuk dibuat.
“Apabila Sony Music pertama kali membentangkan projek ini kepada kami, kami bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama itu pun selesai.
“Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU. Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.
“Kami teruja untuk menggabungkan legasi luar biasa mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama-jenama restoran,” ujarnya.
Cawangan pertama KRU Café dijangka dibuka di Aneka Walk, Shah Alam, sebuah pembangunan gaya hidup dan placemaking utama oleh PKNS yang bertujuan mengubah kawasan tersebut menjadi destinasi yang meriah untuk makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti.
Dijadualkan membuka pintunya pada suku ketiga tahun 2026, KRU Café menjanjikan lebih daripada sekadar hidangan yang enak.
Para pengunjung boleh menjangkakan gabungan unik muzik, persembahan, nostalgia, pengalaman interaktif untuk peminat serta suasana yang meriah, diinspirasikan oleh salah satu kumpulan muzik paling disayangi di Malaysia. – KopiPlanet.com
The post KRU Umum Bakal Buka ‘KRU Café’ Berkonsepkan Kafe Bertemakan Muzik & Hiburan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: