Showcase ‘Wings Sunday Night Live’ Bakal Hangatkan Pentas Muzik Di Dua Buah Lokasi Hard Rock Cafe
Kumpulan rock legenda tanah air, Wings bakal kembali menghangatkan pentas muzik tempatan menerusi showcase istimewa bertajuk “Wings Sunday Night Live” sempena promosi album terbaharu mereka yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan.
Showcase eksklusif ini dianjurkan dengan kerjasama Awie Entertainment bersama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, serta disokong oleh RPM Label sebagai pihak penguruzan baru bagi Wings.
Ternyata penganjuran “Wings Sunday Night Live” bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya menjadi platform istimewa untuk memperkenalkan karya-karya baharu Wings kepada para peminat, di samping mempromosikan album Wings New Era.
Dalam masa yang sama, ia turut diharap dapat menyemarakkan lagi industri seni muzik tempatan serta mengangkat semangat persembahan live dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Pada asalnya, siri ini dirancang sebagai jelajah Rock To Rock Tour. Namun demikian, atas kekangan tertentu, penganjur mengambil keputusan untuk memfokuskan penganjuran kepada dua lokasi utama yang dijangka menghimpunkan peminat setia dari seluruh negara.
Untuk siri jelajah berkenaan nanti, Wings bakal tampil dengan persembahan bertenaga berdurasi satu jam setengah menerusi sebuah set istimewa yang merangkumi sekitar 20 buah lagu.
Penonton akan dihidangkan dengan gabungan lagulagu hits yang menjadi kegemaran sepanjang zaman, serta seleksi karya baharu daripada album mereka.
Dua lokasi yang bakal menjadi saksi kepada kemuncak “Wings Sunday Night Live” ialah di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai dan Hard Rock Cafe Melaka (12 Julai).
Orang ramai, khususnya para peminat muzik rock tanah air, dijemput hadir bagi menyaksikan sendiri malam penuh energi, nostalgia dan keampuhan muzik Wings dalam sebuah pengalaman live yang dijangka meninggalkan impak mendalam. – KopiPlanet.com
The post Showcase ‘Wings Sunday Night Live’ Bakal Hangatkan Pentas Muzik Di Dua Buah Lokasi Hard Rock Cafe appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: