Ads Top

Jadi Juri Pertandingan Nyanyian, Naqiu Utamakan Peserta Miliki Keunikan & Faktor X

Penyanyi popular, Naqiu menegaskan dia mengutamakan peserta yang mempunyai keunikan terserndiri dan faktor X apabila bergelar juri pertandingan The Ascott Star Rewards Festival 2025.

Naqiu berkata, dua perkara tersebut menjadi keutamaan supaya industri nyanyian tempatan tidak dibanjiri dengan kemunculan penyanyi yang tiada identiti tersendiri untuk menjadi seorang penghibur.

“Apa yang saya lihat ketika ini corak untuk artis baharu sekarang sudah mula berulang kembali. Jadi. saya nak cari sesuatu yang memiliki keunikan tersendiri.

“Ini bermakna kita masih lagi kurang pelapis penyanyi yang ada faktor X kerana segelintir masih ada yang nak meniru artis sedia ada,” katanya. 

Menurut penyanyi yang juga vokalis kumpulan Boboi itu lagi, dia juga bukan kali pertama dia bergelar juri pertandingan nyanyian.

Tegasnya, dia menyedari bahawa masih wujudnya lambakan penyanyi yang tiada keaslian dan identiti sebagai penghibur yang berbakat besar. 

“Kebanyakannya nak jadi macam ratu rock kita, Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewritter. Jadi saya tak nak ada dua atau tiga penyanyi sebegitu sebab kita sudah ada dalam industri,” ujarnya. 

Pada masa sama, Naqiu turut menitipkan nasihat buat bakat baharu yang ingin memasuki pertandingan untuk membuang mentaliti dan kecenderungan untuk hanya membawakan lagu bernada tinggi. 

“Jangan ada mentaliti yang mana hendak menyanyi karaoke atau pertandingan, mesti lagu bernada tinggi. Kadang-kadang lagu yang rendah pun boleh jadi tarikan.

“Saya rasa perlu ada perubahan seperti itu. Saya pun tak mahu dengar orang menyanyi seperti saya sebab saya pun dah dengar suara saya sendiri berpuluh tahun,” katanya. 

Sementara itum buat julung kalinya syarikat rakaman Sony Music Malaysia bakal menganjurkan persembahan muzik secara langsung dan pencarian bakat yang menampilkan artis-artis tempatan popular termasuk Vanessa Reynauld, Yulia, dan ramai lagi. 

Selain Naqiu, antara penyanyi yang turut dipilih sebagai juri bagi mengadili pertandingan karaoke di acara The Ascott Star Rewards Festival 2025 ini ialah Ara Johari dan Khai Bahar. 

Setakat ini, pertandingan berkenaan telah mendapat penyertaan seramai 250 peserta yang dibuka kepada semua yang berminat dan setiap peserta berpeluang untuk merebut tawaran menjadi artis rakaman Sony Music Malaysia. 

Dianjurkan oleh Ascott Malaysia, festival ini berlangsung pada 24 hingga 27 Julai 2025, pukup 10 pagi hingga 9.30 malam. – KopiPlanet.com

The post Jadi Juri Pertandingan Nyanyian, Naqiu Utamakan Peserta Miliki Keunikan & Faktor X appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.