Ads Top

8,000 Banjiri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire – Lahir Bakat Pelapis Industri

Kira-kira 8,000 hadirin membanjiri siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire pada kedua-dua hari penganjurannya di Mydin Mall, Bukit Mertajam di Pulau Pinang minggu lalu.

Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid berkata, pihaknya melahirkan rasa lega apabila kali pertama jelajah selama dua hari itu mendapat sambutan baik peminat stesen berkenaan.

“Syukur dengan sambutan yang kami terima dan seronok melihat sambutan sejak dari hari Sabtu ketika aktiviti KiraOke Suria yang menawarkan hadiah wang tunai.

“Hari konsert juga meriah dengan kehadiran penonton sejak pagi sehingga konsert tamat kira-kira 7 malam dihiburkan barisan artis seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haqiem Rusli, Zamani dan Kristal X,” katanya.

Menerusi aktiviti KiraOke Suria yang dijalankan pada setiap lokasi jelajah kali ini membuka peluang bukan saja untuk mencari penyanyi malah bakat lain termasuk penyampai dan pempengaruh.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai DJ Lin,  penyertaan yang diterima juga sangat menggalakkan sehingga hari ini termasuk mereka yang sanggup hadir dari jauh.

“Di Pulai Pinang saja kami menerima lebih 30 penyertaan awal sebelum disenarai pendek sehingga lima yang bersaing pada peringkat akhir yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM16,500 bagi tiga pemenang utama setiap lokasi.

“Kami juga terharu kerana ada peserta di Bukit Mertajam ini datang jauh iaitu dari Putrajaya dan Subang, Selangor untuk mencuba nasib.

“Lebih dari itu bakat yang kami cari juga bukan hanya sebagai penyanyi tetapi juga mereka yang ada personaliti dan bakat lain menerusi suara termasuk penyampai radio dan pempengaruh,” katanya.

Sementara itu, pada jelajah kali ini penaja terbabit iaitu Yaya Empire turut membawa misi mahu memartabatkan penyanyi dikir yang terkenal di Kelantan.

Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berkata, pihaknya membawa penyanyi dikir di setiap lokasi dalam usaha memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar Suria FM.

“Kami mahu lebih ramai membuka mata dan menghargai bakat seni penyanyi dikir yang sangat terkenal di Kelantan dan turut popular di media sosial seperti TikTok.

“Kami sendiri di Yaya Empire memang sudah lama berkerjasama erat dan menyokong penyanyi dikir ini kerana keunikan mereka.

“Pada saya irama yang dibawa penyanyi ini juga boleh mendunia dan diterima termasuk beberapa lagu popular seperti Bey Soba Bey yang turut viral antarabangsa,” katanya.

Nadia yang mesra disapa Yaya turut teruja dalam jalinan antara perniagaan wangiannya dan dunia hiburan kerana percaya ia mampu bergerak seiring.

“Bila saya menjalin hubungan dengan Zamani dan DJ Lin sebagai contoh, saya mendapat pelanggan dalam kalangan peminat mereka.

“Seperti di Pulau Pinang sambutan yang diterima sangat baik dengan jualan mencecah lima angka untuk dua hari jelajah,” katanya.

Lebih menarik pada edisi jelajah di Kelantan kelak, pertandingan KiraOke Suria bakal menggunakan format pencarian bakat baharu penyanyi dikir di negeri itu.

Katanya, menjadi harapannya agar penyanyi dikir akan diterima baik serta lagu nyanyian mereka akan berkumandang dalam radio tempatan. – KopiPlanet.com

The post 8,000 Banjiri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire – Lahir Bakat Pelapis Industri appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.