Ads Top

Diperlekehkan Peminat Fanatik Aina Abdul, Adzrin Adzhar Luahkan Rasa Kesal

Vokalis AANTU Band, Adzrin Adzhar atau mesra disapa Mayin hari ini meluahkan kekesalannya terhadap tindakan segelintir peminat fanatik Aina Abdul yang memperlekehkannya.

Lebih lama bertapak dalam industri muzik tanah air, Adzrin mendedahkan bahawa video nyanyiannya ketika menyampaikan lagu penyanyi berkenaan, Terus Hidup diserang dengan kritikan tidak profesional.

“Sebelum ini saya ada menerima ‘job’ daripada TikTok Malaysia untuk menyanyikan lagu Terus Hidup sebaik lagu berkenaan diangkat menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun lalu.

“Setelah beberapa hari video tersebut dikongsikan di laman YouTube, saya perasan terdapat beberapa komen daripada peminat fanatik Aina,” jelasnya.

Adzrin berkata, dirinya sebelum ini pernah dikritik, malah dia amat mengalu-alukan kritikan kerana pandangan pendengar itu penting untuk kariernya sebagai penyanyi.

Jelasnya, sebagai seorang guru vokal dia semestinya mengharapkan pendapat orang luar untuk menambah baik ilmu yang dimiliki.

“Cuma yang membuat saya ralat, cara peminat fanatik terbabit memberikan komen adalah terlalu naif dan sangat tidak profesional.

“Siap dia seru (tag) nama kawan-kawannya agar berkomplot meninggalkan komen berbaur menghina, bukannya membina,” dedahnya.

Baginya, jika mahu memberi ulasan bersifat negatif, dia tidak kisah sekiranya seseorang itu tiada ilmu dalam bidang muzik, tetapi sewajarnya beradab.

“Saya rasa sesiapa pun bersetuju dengan pendapat ini. Adab lebih utama daripada ilmu. Jika seseorang itu tahu menjaga tatasusilanya, automatik apajua pandangannya akan dihormati,” tegasnya.

Tambahnya, berdasarkan komen yang ditulis, pengkritik-pengkritik terbabit cuba merendah-rendahkan kredibilitinya, termasuk membuat perbandingan antara pencapaian jenama Aina Abdul dengan Adzrin Adzhar.

“Siap pesan supaya saya jangan perasan sebab lambat lagi nak setaraf dengan Aina. Mereka turut tegur, nyanyian saya langsung tak sama dengan Aina.

“Memanglah tak sama. Saya Adzrin Adzhar, bukan Aina Abdul. Saya menyanyi bukan sebab nak jadi macam dia,” getusnya kecewa.

Mayin menjelaskan, hubungannya dengan Aina tiada masalah, malahan pernah beberapa kali mereka bekerjasama dalam beberapa acara.

Sewaktu menjuarai program realiti Suara Viral 2.0 Mayin berkata, Aina antara juri yang terlibat dan semestinya saling mengenali memandangkan mereka perlu memberi komitmen selama beberapa bulan.

“Saya ingat lagi komen Aina selaku juri. Dia sendiri akui sebagai salah seorang peminat kami. Bangga sangat dengan pujiannya itu, apatah lagi jika dibadingkan taraf kami, AANTU masih terlalu kerdil.

“Bukan itu sahaja, kami pernah duduk sebelah menyebelah ketika sama-sama menjurikan program Bintang Kecil RTM dan banyak perkara kami bualkan. Jadi, kami memang baik antara satu sama lain,” jelasnya.

Justeru Mayin berpesan, seandainya mahu mengkritik seseorang, nilai-nilai norma haruslah diterapkan supaya ulasan itu lebih cakna kepada individu yang dikritik dan menerimanya dengan baik. – KopiPlanet.com

The post Diperlekehkan Peminat Fanatik Aina Abdul, Adzrin Adzhar Luahkan Rasa Kesal appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.