Gemencheh Boys Angkat Sukan Kriket, Adaptasi Kisah Benar Kejayaan Sekumpulan Pelajar Di Peringkat Antarabangsa
Tidak dinafikan sukan kriket dilihat tidak begitu popular berbanding sukan-sukan lain yang lebih digemari ramai serta mendapat liputan cukup meluas.
Namun, ia tidak menghalang untuk terhasilnya sebuah filem yang mengangkat sukan kriket, apatah lagi diadaptasikan daripada sebuah kisah benar.
Maka, terhasil sebuah filem berjudul Gemencheh Boys yang menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa menerusi sukan berkenaan.
Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia yang harus dipersembahkan meskipun menyedari bahawa sukan kriket tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti mana sukan bola sepak atau badminton.
“Namun begitu, jalan cerita yang dipertaruhkan menerusi filem ini mampu memberi inspirasi kepada semua penonton. Ia bukan sebuah kisah biasa dan bukan mengenai kriket semata-mata, tetapi tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’, membuktikan orang biasa boleh menjadi luar biasa.
“Mereka juga telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa. Kami mengharapkan Gemencheh Boys mampu meninggalkan impak tersendiri dan mendapat perhatian penonton berbilang bangsa,” ujarnya.
Gemencheh Boys’ dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket.
Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.
Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama.
Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi.
Sementara itu, Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong berkata, selain memberikan nilai hiburan, dia percaya Gemencheh Boys mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang kami terbitkan iaitu Adiwiraku.
“Menerusi tema inspirasi yang sama, kami harap Gemencheh Boys akan kekal relevan untuk penonton Malaysia dan saya rasa amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini.
“Selain itu, filem ini turut mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antara sokongan seperti kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.
Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini dan diarahkan oleh pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 iaitu pengarah Jason Chong bersama Eric Ong yang membabitkan studio penerbitan terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures. – KopiPlanet.com
The post Gemencheh Boys Angkat Sukan Kriket, Adaptasi Kisah Benar Kejayaan Sekumpulan Pelajar Di Peringkat Antarabangsa appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: