Ads Top

100,000 Butir Batu Kristal Swarovski Menghiasi Butik Tudung Mewah Crystal World Bawal Exclusive

Tidak dinafikan jenama tudung Bawal Exclusive merupakan jenama yang cukup popular dan menjadi pilihan ramai wanita bertudung dengan pelbagai pilihan yang menarik dan eksklusif.

Yang terbaru, jenama tudung berkenaan baru sahaja membuka sebuah butik tudung mewah yang diberi nama Crystal World Bawal Exclusive yang terletak di Puchong, Selangor.

Istimewanya, butik tudung mewah berkenaan dihiasi dengan sinaran daripada 100,000 butir batu kristal Swarovski yang pastinya memberikan satu pengalaman baharu buat sesiapa sahaja yang mula melangkahkan kaki masuk.
 
Lebih menarik lagi, butik tudung mewah yang menelan belanja RM2.5 juta itu bukan sahaja memukau pandangan mata, tetapi turut mempamerkan tudung yang bernilai RM10,000 hingga RM RM113,000 selaras dengan aspirasi Bawal Exclusive yang mahu mewujudkan butik tudung paling mewah di dunia bertahtahkan kristal Swarovski.

Pengasas dan pemilik Bawal Exclusive, Haliza Masyuri berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk memiliki butik tudung mewah ini akhirnya tercapai setelah sekian lama bergelumang dalam perniagaan tudung.
 
“Tiada apa yang dapat saya katakan selain bersyukur dengan apa yang dikecapi pada hari ini. Dalam hidup tiada apa yang mustahil dan saya mahu semua orang mempunya azam dan semangat untuk terus berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran butik mewah berkenaan yang turut dihadiri Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
 
Menurut Haliza, impian untuk memiliki butik tudung mewah sendiri bermula pada malam ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun apabila mereka telah dijemput ke majlis makan malam yang berprestij di Wattens, Austria pada tahun 2018.
 
Ujarnya, Bawal Exclusive telah berpeluang dijemput untuk berdiri sama tinggi dengan jenama-jenama luar dari seluruh dunia.
 
Tambahnya lagi, pancaran kristal Swarovksi yang bermula dengan satu butir telah menghasilkan pancaran laser yang menyerlahkan lagi setiap butiran kristal yang berada dalam dewan. Ia merupakan satu kenangan yang tidak boleh dibeli di mana-mana.
 
“Sejak itu saya menanam impian dan berjanji akan membawa kenangan itu bersama-sama ke Malaysia. Hari demi hari, impian tersebut bakal direalisasikan pada hari ini dengan perlancaran butik tudung mewah bertaraf antarabangsa yang diberi nama Crystal World Bawal Exclusive.
 
“Butik tudung mewah ini bukan hanya dibina semata-mata untuk dipamerkan pada umum, malah saya ingin membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa sebagai seorang wanita Muslim yang bermula dari bawah juga mampu untuk berjaya,” tambahnya.
 
Jelasnya, dia juga mahu membuktikan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.

“Hanya bermula dengan satu langkah dengan semangat yang tinggi serta sentiasa konsisten dengan apa yang dilakukan. Saya ingin menjadi inspirasi kepada usahawan yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan.
 
“Saya ingin menunjukkan kepada Premium Reseller Bawal Exclusive bahawa mereka juga mampu untuk menjadi seperti ini,” katanya yang berhasrat menjadikan Crystal World Bawal Exclusive sebagai sebuah butik tudung yang paling mewah di dunia yang bertahtahkan kristal Swarovski.

Jelas Haliza, butik berkenaan hanya akan dibuka kepada mana-mana pelanggan yang inginkan rekaan yang eksklusif dan perlu terlebih dahulu membuat tempahan sebelum datang.

“Bagi pelanggan yang ingin datang, pelanggan perlu membuat temu janji dan membayar deposit sebanyak 50 peratus daripada harga nilai tudung yang ingin dibeli.

“Misalnya kalau nilai tudung yang ingin ditempah itu RM100,000, maka pelanggan perlu membayar deposit sebanyak RM50,000. Kemudian barulah boleh datang butik kami dan berbincang tentang rekaan tudung yang diinginkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, setelah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, kini Haliza turut memperkenalkan bakal pewaris iaitu anak sendiri, Muhammad Zuhairi Syazwan yang baru berusia 22 tahun sebagai penyambung kepada legasi perniagaan yang diusahakan.

“Ketika ini anak saya masih lagi belajar tentang selok-belok dunia perniagaan, meskipun dia telah didedahkan mengenainya sejak dari kecil lagi.
 
“Sudah tentu saya berharap agar pewaris saya ini dapat menjaga dan menjalankan perniagaan ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post 100,000 Butir Batu Kristal Swarovski Menghiasi Butik Tudung Mewah Crystal World Bawal Exclusive appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.