Ads Top

Rindu Separuh Nyawa Tampilkan Gandingan Sulung Naqiu & Vanessa Raynauld

Dalam usaha mencari keserasian yang padu untuk menjayakan lagu duet sememangnya bukan tugas mudah. Keserasian itulah sebenarnya menjadi intipati penting untuk menentukan nasib sesebuah lagu sama ada berhasil atau gagal.

Bagaimanapun, kerjasama sulung Naqiu dan Vanessa Raynauld menerusi Rindu Separuh Nyawa ternyata menjadi, meskipun kedua-dua penyanyi daripada generasi berbeza.

Apa yang menyamakan mereka tentu sekali kedua-duanya artis berkaliber dan berpengalaman, di mana Naqiu sendiri pernah menjadi juara program Gegar Vaganza musim keenam pada 2019 dan Vanessa pula muncul naib juara The Masked Singer Malaysia musim pertama pada tahun lalu.

Mulanya ragu-ragu memikir mampukah paduan suara mereka bercantum cantik, kerisauan Naqiu bagaimanapun terlerai. Dia mengakui Vanessa adalah rakan duet yang tepat untuk Rindu Separuh Nyawa.

Perbezaan karakter suara mereka juga bukan penghalang besar bahkan sebaliknya tunas unik untuk runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu.

“Sebagai komposer saya cuba tampilkan melodi yang boleh diterima masyarakat dan kena dengan emosi lagu Rindu Separuh Nyawa itu sendiri. Pada mulanya, saya dengan Vanessa agak kekok. Selepas beberapa jam, barulah kami dapat keserasian. Vanessa memiliki ilmu yang baik, jadi tidak susah untuk mendapatkan keserasian serta emosi lagu itu.

“Bahagian paling susah adalah bagaimana untuk menggabungkan suara kami disebabkan nyanyian kami memiliki karakter yang sangat berbeza memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Bagaimanapun, dengan bantuan jurulatih vokal, Afif Tirmizie, dia berjaya mencantikkan lagi gabungan suara kami selain memantapkan Rindu Separuh Nyawa secara keseluruhan,” jelasnya.

Ujar Naqiu, sebagai penyanyi dan komposer dia berharap lagu berkenaan diterima mampu diterima dan begitu juga drama berkenaan, selain melancarkan kariernya serta Vanessa.

“InsyaAllah, semoga lagu ini dapat menaikkan semangat saya lagi untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Vanessa pula akui dia paling tertarik dengan melodinya yang sangat mesra telinga. Bahkan, pertama kali dia mendengarnya, ia terus melekat di kepala.

Jelasnya, memandangkan ia sebuah lagu duet, dia juga sangat teruja kerana ingin merasa sendiri bagaimana untuk berduet dengan seseorang.

“Gabungan saya dengan Naqiu agak mengejutkan sebenarnya bagus. Pertama kali saya mendengar suara Naqiu, ia agak besar dan serak-serak basah manakala suara saya pula bernada tinggi dan lembut. Awalnya, saya takut suara kami tidak bersatu dengan baik. Namun selepas habis rakaman semua, rupanya gabungan suara kami menjadi.

“Bagi saya, tiada pun bahagian yang sukar disebabkan sangat mudah untuk bekerjasama dengan Naqiu. Mungkin daripada segi mencari melodi sedikit mencabar disebabkan ia lagu baharu. Namun dengan bantuan jurulatih vokal,Afif Tirmizie, dia berjaya meringankan beban itu sekali gus melancarkan proses nyanyian kami.

“Semestinya saya sangat berterima kasih kepada Sony Music Malaysia dan Naqiu kerana memberi peluang untuk merealisasikan lagu duet pertama saya. Saya harap lagu ini dapat sambutan yang terbaik, diterima dengan hati terbuka, dan pendengar menyukai gabungan saya bersama Naqiu,” katanya.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa arahan Along Kamaludin itu dijadualkan mula ditayangkan dalam masa terdekat menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria. Drama terbitan SR One Sdn Bhd itu dibintangi pelakon hebat termasuk Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Marsha Milan Londoh, Fizo Omar, Noreen, Ikhlas Jalil, Aleza Shadan, Noorkhiriah, Fiza Thomas, dan Fareez Ridzwan.

Rindu Separuh Nyawa boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music. – KopiPlanet.com

The post Rindu Separuh Nyawa Tampilkan Gandingan Sulung Naqiu & Vanessa Raynauld appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.