Ads Top

Isteri Azmi Saat Pernah Gadai Barang Kemas Untuk Duit Bayaran Pendahuluan Rumah Sewa

Sejak dilancarkan pada November lalu, lagu Tulus dilihat telah memberikan transisi berbeza dalam kerjaya nyanyian Azmi Saat memandangkan ia merupakan karya pertama yang diciptanya sekitar tahun 2008 sekali gus menyerlahkan lagi bakat dalam dirinya.

Menampilkan melodi dan lirik mengenai kisah perasaan terhadap insan yang dicintai iaitu isteri, Tulus disifatkan lagu yang cukup istimewa dengan dirinya serta dekat di hati peminat setia Azmi.

Bercakap soal ketulusan dalam perhubungan suami isteri, Azmi yang bakal meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan bulan depan mengakui dia pernah melalui saat getir bersama isteri.

“Sewaktu tempoh awal perkahwinan kami dahulu, tidak dinafikan isteri saya memang banyak bantu memandangkan dia adalah seorang penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

“Isteri juga pernah bergolok gadai dengan menggadaikan barangan kemas termasuk terpaksa menjual hantaran perkahwinan berupa gelang emas untuk buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu. 

“Kemudian setelah mempunyai sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikannya duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai,” katanya.

Ujarnya, dia dan isteri tetap bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan mereka dan sama seperti pasangan lain, Azmi juga pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

“Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga. Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas. Ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan. Jadi, adalah lebih duit sikit,” katanya.

Apa yang pasti juga, kekurangan yang dimiliki bersama pasangan tidak menjadikan mereka kufur nikmat sebaliknya berasakan diberikan kelebihan lain oleh Allah SWT.

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah pun. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya. Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing.

“Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya. Sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula. Jadi, apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama. Dalam erti kata lain susah dan senang kami bersama,” katanya.

Terbaharu, Universal Music Malaysia dan Valient Music selaku penerbit melancarkan video muzik (MV) rasmi lagu Tulus pada 7 Januari lalu di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Bercerita mengenai MV lagu Tulus yang dilancarkan, Azmi berkata dia berlakon sebagai individu celik sebelum mengalami kecelakaan hingga mengakibatkannya buta.

“Jalan cerita daripada pihak pengarah dan syarikat rakaman. Ia bukanlah kisah saya atau ikut jalan cerita lagu. Saya hanya berlakon juga.

“Saya menjadi suami dan isteri dilakonkan pelakon lain. Saya menjadi orang celik, kemudian ada insiden saya hilang penglihatan.

“Pada awalnya saya tak percaya dan sering marah, tapi isteri pujuk. Sepanjang tempoh itu, rupanya isteri pun ada sakit. Jadi, saya menyesal dengan tindakan yang dibuat,” katanya.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Valient Music. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube. – KopiPlanet.com

The post Isteri Azmi Saat Pernah Gadai Barang Kemas Untuk Duit Bayaran Pendahuluan Rumah Sewa appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.