Ads Top

Penutup 2020 – Ke Mana Usia Anda Dihabiskan

Tinggal beberapa detik lagi untuk kita melangkah ke alam baru. Adakah anda sudah bersedia dengan azam dan matlamat baru?

Dan bagaimana dengan azam untuk tahun 2020 ini? Berapa peratus yang telah terlaksana dan berapa peratus lagi yang belum terlaksana menjadikan ia mungkin akan dibawa ke tahun baru.

Walaupun ada yang sudah dicapai atau yang belum juga terlaksana, semangat dan motivasi itu perlu dikekalkan agar dapat melangkah ke tahun baru dengan matlamat yang diingini. Yang paling penting ialah anda sendiri perlu menilai sejauh mana sesuatu perkara itu perlu diperbaiki dan ditambah baik untuk dibawa ke tahun baru.

Selain daripada penilaian terhadap matlamat, ada perkara yang lebih penting juga dan tidak boleh dipandang sebelah mata, iaitu penilaian terhadap umur anda.

Sejauh mana anda menggunakan umur pada tahun ini dengan baik. Sejauh mana juga umur anda tahun ini telah memberi bakti kepada diri anda.

Sebahagian ulama salaf memberi nasihat – “Wahai saudaraku, kami menduga engkau adalah seorang mukim (yang tidak bepergian jauh). Namun, sebenarnya engkau adalah seorang yang melakukan perjalanan (safar). Engkau akan dihalau dengan cepatnya. Kematian pun akan ada di hadapanmu. Sedangkan dunia akan berada di belakangmu. Umur yang telah berlalu darimu tidak akan kembali padamu, sampai engkau akan bertemu kembali dengan hari yang dinampakkan kesalahan-kesalahan.”

Hari yang telah berlalu tidak akan datang kembali. Kita tidak boleh memandang ke masa lalu kerana ia adalah pengalaman yang akan membawa kita ke masa hadapan.

Untuk penghujung 2020 ini, sudah berapa angka usia yang telah dilalui? Adakah ia digunakan untuk perkara yang bermanfaat? Atau adakah ia digunakan ke arah yang sia-sia?

Jika usia anda masih muda, amat rugi jika ia digunakan ke arah yang sia-sia. Tenaga orang muda ini banyak dan kuat. Dengan tenaga tersebut, mereka boleh salurkan ia ke arah yang memberi manfaat kepada semua.

Namun, jika usia anda sudah menginjak ke usia emas, amat rugi juga jika ia tidak digunakan ke arah mendekati Allah.

Tidak ramai orang diberi peluang untuk mempunyai usia yang panjang. Ada yang dijemput Ilahi tika masih sibuk meneroka dunia.

Ajal dan maut datang tidak mengenal usia. Disebabkan itu, untuk setiap umur yang anda lalui, jalani ia dengan sepenuh hati agar perasaan rugi tidak menapak ke dalam diri.

Ayuh, untuk 2021, masukkan azam untuk menggunakan umur anda dengan baik yang boleh memberi manfaat buat diri sendiri dan juga sekeliling agar ia boleh menjadi salah satu perkara yang menarik reda Allah.

The post Penutup 2020 - Ke Mana Usia Anda Dihabiskan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.