Ads Top

Penerangan Mufti Berkenaan Hukum Makan Daging Yang Syubhah

Baru-baru ini hangat isu daging import dari negara sumber yang tidak sah termasuk diragui status halalnya.

Perkara ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat terutamanya umat Islam kerana status halal amat penting terutamanya dalam isu pemakanan.

Namun, apabila wujudnya isu ini, pasti ia juga telah menimbulkan perasaan was-was dan umum mengetahui bahawa makanan yang syubhah, iaitu diragui kehalalannya, perlu dielakkan.

Syubhah membawa maksud tidak jelas, iaitu kekeliruan antara halal dan haramnya, maka ia perlu dijauhi bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda;

Maksud: “Perkara yang halal itu jelas, yang haram itu juga jelas dan di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah, dia telah memelihara agama dan maruahnya. Manakala, sesiapa yang terjebak dalam perkara-perkara syubhah, dia umpama seorang pengembala yang mengembala ternakannya di sekitar kawasan larangan yang dibimbangi akan tergelincir ke dalamnya. Sesungguhnya bagi setiap penguasa ada larangannya dan larangan Allah di dunia milikNya adalah perkara-perkara yang diharamkanNya.” (HR Bukhari, no. 52)

Namun, dalam isu daging import yang menimbulkan keraguan ini, bagaimana pula statusnya terhadap pengguna yang telah memakan daging ini?

Hal ini kerana pada asalnya daging ini diyakini halal, namun ia kemudian diragui statusnya serta dijalankan siasatan ke atasnya.

Dalam hal ini, Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi penerangan bahawa ia adalah perbuatan yang dimaafkan kerana keraguan itu muncul selepas terbitnya isu tersebut. Sedangkan sebelum ini, umum meyakini bahawa statusnya adalah halal dan diyakini.

Menurut penjelasan lagi, ia dilakukan secara tidak sengaja. Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada dalil yang dikemukakan seperti dalam firman Allah yang menyebut;

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Mafhum: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).” (Surah Al-Ahzab, 33:5)

Kesimpulan

Justeru, perbuatan makan daging import sebelum wujudnya isu syubhah adalah dimaafkan kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak disengajakan.

Maksud: “Telah diangkat (diampunkan) dalam kalangan umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa.” (Imam Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/450)

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Penerangan Mufti Berkenaan Hukum Makan Daging Yang Syubhah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.